PM arah Kemuka laporan kemajuan projek setiap bulan

PM arah kemuka laporan kemajuan projek setiap bulan

ANWAR brahim berucap pada Majlis Perjumpaan Jabatan Perdana Menteri di putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengemukakan laporan bulanan selepas ini berkenaan kemajuan serta sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan setiap projek kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan tersebut perlu dihantar melalui Ketua Pengarah (KP) atau Ketua Setiausaha (KSU) kementerian kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk dimaklumkan kepada beliau.

“Selalunya bila ketua-ketua jabatan, KSU jumpa dalam perbincangan, mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa Kabinet, semua akan memberi cadangan tambah projek, ya memang dibolehkan.

“Tetapi ada keadah baharu yang kita hendak perkenalkan, mesti ada laporan bulanan apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara-saudara dalam usaha untuk melaksanakan projek itu.

“Dan laporan bulanan ini harus dihantar melalui KP atau KSU kepada KSN dan juga untuk makluman saya supaya ada pendekatan yang agak berbeza,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mahu laporan bulanan yang dikemukakan itu menunjukkan kemajuan projek yang jelas serta sumbangan penjawat awam ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara Madani atau ekonomi Madani.

“Jadi saya harap hal ini dapat dilakukan bersama dengan usaha perubahan semua, dalam Jemaah Menteri, kita juga cuba melakukan kaedah-kaedah yang baharu, meneruskan (dasar atau projek) yang baik tetapi pendekatan kita harus berubah.

“Umpamanya kita tidak meneruskan dengan cara rundingan terus untuk mengelakkan kecelaruan salah guna, hal-hal ini sangat ditekankan, kemudian di setiap kementerian harus ada pendekatan yang lebih berani,” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan keyakinannya bahawa Kerajaan Perpaduan adalah stabil, walaupun terdapat pelbagai desas-desus yang berlegar ketika ini.

“Oleh kerana stabil ini, kita nak gunakan sepenuhnya untuk laksanakan program untuk mengangkat martabat negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN