Umrah DIY bukan jaminan ibadah lancar

Umrah DIY bukan jaminan ibadah lancar

Umat Islam disaran menangguhkan tunai umrah dan haji sekiranya keselamatan terjejas susulan krisis Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsep umrah secara buat sendiri atau umrah DIY didakwa telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi menjana keuntungan dan ia tidak ubah seperti agensi pelancongan haram.

Umrah DIY merujuk kepada kaedah di mana individu mengendalikan sepenuhnya keperluan ibadah umrah termasuk penginapan, pengangkutan, jadual perjalanan serta permohonan visa umrah secara atas talian, tanpa bimbingan agensi.

Seorang mutawif, Azizul Aziz berkata, faktor utama yang mendorong jemaah memilih haji atau umrah secara DIY ialah faktor kos, di mana sebahagian jemaah beranggapan perjalanan lebih murah berbanding pakej agensi. 

“Perjalanan DIY memang membolehkan jemaah menetapkan tempoh tinggal yang lebih panjang dan fleksibel. Namun, realitinya tempoh panjang tidak semestinya menjamin kelancaran ibadah, malah mendedahkan jemaah kepada risiko kewangan, kesihatan, dan keselamatan jika perancangan tidak rapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya,  ketiadaan agensi rasmi menyebabkan jemaah umrah DIY berdepan masalah seperti kegagalan tiket, penipuan penginapan, kehabisan dana atau sekatan visa.

“Dalam situasi jemaah terkandas, mutawwif sering berdepan dilema kerana terpaksa membantu secara ihsan walaupun bukan di bawah tanggungjawab rasmi,” katanya. 

Seorang lagi mutawwif, Shahrul Nazal turut berkata, konsep DIY memberi kebebasan kepada jemaah namun hakikatnya kos lebih tinggi berbanding pakej ditawarkan syarikat pelancongan.

“Keputusan terletak pada individu sama ada mahu membayar lebih atau memilih laluan lebih mudah melalui agensi, ada yang memilih DIY kerana ingin berada di Tanah Suci dalam tempoh singkat dan ada juga yang mahu menetap berbulan-bulan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jemaah yang memilih umrah DIY berbuat demikian kerana mahu bergerak bebas tanpa terikat jadual, namun mereka perlu sedar bahawa segala urusan dan risiko berada di bawah tanggungjawab mereka sendiri. 

“Apabila berlaku masalah baharulah mereka mencari agensi. Itu salah sendiri kerana jika mendaftar dengan agensi, semua urusan diuruskan dengan teratur dan selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN