Masyarakat punca jenayah seksual kanak-kanak meningkat

Masyarakat punca jenayah seksual kanak-kanak meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apalah daya seorang anak kecil, tubuh yang seharusnya dilindungi dan disayangi itu adakalanya diambil kesempatan bagi memuaskan nafsu serakah.

Bukan sekadar omong kosong, buktinya, sepanjang tahun ini media tidak berhenti melaporkan jenayah seksual kanak-kanak yang semakin meningkat.

Antaranya, kes seorang guru menggigit dan menarik bibir seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan alasan sekadar bergurau.

Sedangkan, ibu kanak-kanak tersebut memaklumkan anaknya mengalami trauma yang teruk sehingga muram setiap kali perlu ke sekolah.

Bukankah perkara sedemikian sudah mencatatkan satu detik hitam dalam kehidupan kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia?

Sedangkan, negara sudah mempunyai beberapa akses kepada pencegahan jenayah ini seperti talian NUR dan tidak kurang juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang menyuarakan hak anak-anak kecil ini. Tetapi, kenapa ia terus berlaku?

Bercakap kepada Utusan Malaysia, aktivis kanak-kanak, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, isu berkenaan makin berleluasa kerana keluarga enggan atau malu untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

Lebih-lebih lagi, pendera kebiasannya adalah individu yang dikenali oleh kanak-kanak itu.

“Disebabkan norma budaya dan masyarakat yang sering menyalahkan serta menjatuhkan hukum kepada mangsa, sekali gus menjadi enabler kepada pelaku.

“Stigma itu menyumbang kepada kurang melaporkan penderaan seksual kanak-kanak. Masih tentang rasa malu dan stigma. Selalu salah mangsa.

“Kekurangan program pendidikan dan kesedaran yang komprehensif untuk kanak-kanak dan penjaga serta perlindungan yang tidak mencukupi di sekolah atau pusat kanak-kanak,” katanya.


Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah termasuk seksual yang melibatkan kanak-kanak dan wanita di negara ini adalah sebanyak 12,890 kes pada 2022.

Jumlah itu meningkat berbanding 2020 yang mencatatkan sebanyak 11,092 kes.

Ogos lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan kes gangguan seksual kanak-kanak menunjukkan trend membimbangkan dengan 35 kes yang dilaporkan pada 2022.

Malah, kementerian itu turut tidak menolak kemungkinan kes yang berlaku adalah lebih daripada itu tetapi tidak dilaporkan.

Antaranya, disebabkan oleh ahli keluarga yang kurang cakna mengenai keperluan melindungi anak kecil daripada gangguan seksual.

Semak semula dasar
Hartini yang juga pengasas bersama Yayasan Chow Kit (YCK) berkata, akses yang terhad dan tidak mencukupi kepada perkhidmatan sokongan untuk mangsa penderaan seksual kanak-kanak menyebabkan masalah itu sukar ditangani.

Pendekatan pelbagai aspek yang melibatkan pendidikan, advokasi, pembaharuan undang-undang dan perkhidmatan sokongan diperlukan untuk menangani isu tersebut dengan berkesan.

“Sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula Dasar Kanak-kanak Negara bagi merancang kembali strategi dan tindakan untuk melindungi kanak-kanak,” katanya.

Dasar Kanak-Kanak antara lain memastikan setiap kanak-kanak termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Mangsa sendiri buat aduan
Sementara itu, Ketua Pengurusan Kes Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Vaneezha Muniandi berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun lalu, sebanyak 62 kes penderaan kanak-kanak direkodkan.

Aduan dibuat menerusi beberapa platform yang disediakan seperti Hotline, konsultasi secara berdepan dan talian WhatsApp.

Katanya, penderaan kanak-kanak yang banyak dilaporkan adalah gangguan dan penderaan secara seksual.

“Paling mengejutkan ramai kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas yang menghubungi kami untuk mengadu kes penderaan dan gangguan yang dialami mereka.

“Mujurlah kanak-kanak kini celik teknologi, mereka tahu di mana untuk mencari pertolongan dan tidak mengharapkan orang dewasa semata-mata,” katanya.

Lebih menyedihkan katanya, gangguan berkenaan sering datang daripada ahli keluarga atau kenalan terdekat yang sepatutnya bertindak melindungi kanak-kanak.

“Berdasarkan laporan diterima selalunya gangguan seksual itu melibatkan seks oral atau menggunakan objek dengan niat untuk menganiaya kanak-kanak terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, agak sukar untuk mengenal pasti si pelaku yang melakukan jenayah atau antunan seksual (sexsual grooming).

Hal itu kerana, segelintirnya pandai bertopengkan sikap baik dan menyukai kanak-kanak bagi mengaburi mata orang ramai.

Dalam perkembangan sama, Vaneezha berkata, setiap aduan yang diterima akan dibantu dan diuruskan.

Antaranya adalah dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada pengadu sebelum laporan polis dibuat.

Mangsa juga akan dirujuk kepada Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).
OSCC adalah perkhidmatan dijalankan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital yang beroperasi 24 jam.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk penilaian awal dan merawat mangsa yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga, rogol, liwat, keganasan seksual serta penderaan kanak-kanak.

“Jika berlaku penderaan, kanak-kanak akan mendapat pemeriksaan di situ untuk mengenal pasti tahap kecederaan dialami,” katanya.

Selain itu, ujarnya, WAO turut menyediakan tempat perlindungan, kaunseling dan bantuan krisis kepada wanita dan kanak-kanak mangsa dera.

Murung, pendiam tanda gangguan seksual
Terdapat beberapa tanda yang boleh diperhatikan ibu bapa atau penjaga untuk mengesan jika anak mengalami gangguan seksual.

Tanda itu ialah apabila mangsa tiba-tiba kemurungan, tekanan dan tingkah laku abnormal seperti mudah hilang fokus, terlalu pendiam dan menjauhkan diri daripada orang sekeliling.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Rojanah Kahar berkata, mangsa dera biasanya mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Sekiranya tiada sokongan sosial atau rawatan psikologi, ia boleh menjejaskan kehidupan kanak-kanak.

“Kesan penderaan juga akan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan kesejahteraan mental kanak-kanak.

“Antaranya, hilang keyakinan diri, tidak percaya dengan orang lain, timbul rasa malu dan hina di samping marah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya