Botol air, bungkusan suplemen dan gula-gula milik Jaslinda dijumpai - Utusan Malaysia

Botol air, bungkusan suplemen dan gula-gula milik Jaslinda dijumpai

AHMAD Fissol Ismail (kanan) memberi taklimat kepada Yusri Mohd. Yusoff @ Hashim (tengah) di Pos Kawalan Hadapan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Botol air dan bungkusan suplemen (makanan tambahan) dipercayai milik Jaslinda Saludin, 49, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di laluan menuju Gunung Rayu, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yusri Mohd. Yusoff @ Hashim berkata, penemuan terbaharu itu menguatkan kemungkinan bahawa pendaki wanita tersebut tersasar ke arah Gunung Rayu ketika cuba turun dari Gunung Batu Putih.

Katanya, mangsa juga dipercayai masih meneruskan perjalanan menuruni laluan pendakian meskipun berada dalam keadaan lemah ekoran mengalami kecederaan pada kaki.

“Berdasarkan maklumat, kita percaya mangsa tersasar daripada laluan sepatutnya susulan penemuan tapak kaki serta beberapa barang diyakini milik mangsa termasuk botol minuman, bekas suplemen dan bungkusan gula-gula.

“Mangsa sepatutnya turun ke Kuala Woh, tetapi dia dipercayai telah tersasar ke Gunung Rayu,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.

Terdahulu, Yusri diberikan taklimat mengenai operasi SAR oleh Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dan komander pesawat AW139, Ahmad Fissol Ismail.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya percaya mangsa masih berada di laluan pendakian sedia ada dan tidak keluar daripada trek utama.

Katanya, berdasarkan penelitian dilakukan, tiada laluan lain yang boleh menyebabkan mangsa tersasar jauh selain menuju ke arah Gunung Rayu.

“Kita harap mangsa tidak ‘off trek’ dan setakat ini, semua kesan yang ditemukan menunjukkan mangsa masih bergerak mengikut laluan pendakian,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fissol berkata, usaha menurunkan 12 anggota penyelamat pagi tadi tidak berjaya ekoran keadaan cuaca dan awan tebal yang menyelubungi kawasan gunung berkenaan.

Malah katanya, beliau mencuba beberapa kali untuk memasuki kawasan di Bukit Berapit Dua, namun terpaksa berpatah balik bersama pasukan penyelamat kerana awan tebal dan angin kencang.

“Awan pada awalnya agak tebal, namun sekitar tengah hari ia mula menipis sebelum satu penerbangan dilakukan ke kawasan yang telah ditandakan iaitu Berapit Dua yang bersebelahan dengan Berapit Satu.

“Beberapa cubaan untuk memasuki kawasan berkenaan tidak berjaya akibat awan tebal dan angin kencang, menyebabkan pasukan terpaksa berpatah balik dan menunggu keadaan cuaca kembali baik sebelum mencuba semula sekitar pukul 3 petang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pendaki wanita dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN