Pintu dihempas, Mimi Lana alami kejadian aneh baca skrip Polong - Utusan Malaysia

Pintu dihempas, Mimi Lana alami kejadian aneh baca skrip Polong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mimi Lana mengakui berdepan pengalaman misteri apabila pintu biliknya dihempas secara tiba-tiba ketika membuat persiapan untuk membintangi filem seram, Polong.

Menurut Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, kejadian itu berlaku di kediamannya sejurus selesai membaca naskhah filem berkenaan yang diterima daripada pengarah.

“Saya tidak mengalami sebarang gangguan mistik di set penggambaran, tetapi ada satu kejadian pelik berlaku sewaktu mula-mula menerima skrip daripada pengarah.

“Kali pertama membaca skrip itu, saya tertidur sebelum dikejutkan dengan bunyi pintu bilik dihempas kuat. Apabila terjaga, saya dapati pintu bilik sudah terbuka sedangkan sebelum tidur ia tertutup rapat.

“Pada mulanya saya fikir mungkin sekadar mimpi atau imaginasi kerana baru selesai membaca skrip seram,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut, baru-baru ini.

Tambah Mimi, pengalaman sama sekali lagi berulang selepas dia pulang daripada sesi perbincangan kedua bersama pasukan produksi.

“Perkara sama berlaku lagi. Saya tertidur dan sekali lagi dikejutkan dengan bunyi hempasan pintu yang serupa.

“Saya tidak pasti sama ada itu satu ‘usikan’ atau sekadar mainan perasaan kerana terlalu memikirkan watak dan jalan cerita filem tersebut, tetapi ia memang pelik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mimi bersyukur kerana sepanjang proses penggambaran berlangsung, tiada sebarang kejadian mistik atau gangguan dialami kru mahupun pelakon walaupun penggambaran dijalankan di sebuah flat kosong.

Katanya, seluruh tenaga produksi turut menunjukkan disiplin tinggi dengan sentiasa menjaga adab dan tingkah laku ketika berada di lokasi penggambaran.

“Saya rasa ini filem hantu pertama yang saya sertai tanpa sebarang gangguan. Semua orang sangat berdisiplin, menjaga percakapan dan tingkah laku di set.

“Malah, pihak produksi juga amat menitikberatkan aspek keselamatan dengan menyediakan khidmat ustaz yang sentiasa berada di lokasi bagi memastikan semua urusan berjalan lancar,” katanya.

Polong mengisahkan seorang wartawan jenayah, Fatima, yang cuba membongkar kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam.

Filem yang diinspirasikan daripada kisah jenayah berprofil tinggi di Malaysia itu bakal menemui penonton bermula 28 Mei ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN