DOHA: Korea Selatan berjaya menempah tiket ke suku akhir selepas melakar kemenangan 5-3 ke atas Arab Saudi menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Pada aksi di Stadium Education City, kedua-dua pasukan menunjukkan mutu permainan cukup tinggi apabila saling berbalas serangan.
Skuad Taegeuk Warriors hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-26 namun rembatan lemah Son Heung-min dalam kotak penalti mudah ditangkap oleh penjaga gol Arab Saudi, Ahmed Al-Kassar.
Tiba giliran Arab Saudi menguji pintu gol Korea Selatan menerusi dua tandukan menerusi Saleh Alshehri dan Ali Lajami yang menggegar palang di minit 40 mencemaskan pertahanan pasukan 23 dunia itu.
Bermula babak kedua, pemain gantian Abdullah Radif hanya memerlukan seminit untuk merobek gawang Taegeuk Warriors untuk meletakkan Green Falcons mendahului 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, Korea Selatan meningkatkan intensiti serangan hingga memaksa Arab Saudi lebih banyak bertahan.
Begitupun beberapa percubaan dilakukan jentera serangan Korea Selatan dinafikan Al-Kassar namun ketika perlawanan masa kecederaan hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan Cho Gue-sung muncul wira pasukan apabila menanduk gol penyamaan sekali gus mengheret ke tambahan masa.

Bagaimanapun, tambahan masa selama 30 minit menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Kegagalan Sami A-Najei dan Abdulrahman Ghareeb menyempurnakan sepakan penalti membolehkan Korea Selatan mara ke suku akhir dan bakal bertemu Australia, Jumaat ini.