ARAU: Seorang petani ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di tengah sawah berhampiran jalan utama menghala ke Kampung Banat di sini, hari ini.
Mangsa, Prat Sit Enden Le, 58, dari Kampung Padang Petani, Jejawi, di sini, ditemukan penduduk setempat sekitar pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, laporan berhubung penemuan warga emas berkenaan dibuat oleh penduduk setempat.
“Siasatan mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di kawasan sawah berkenaan ketika sedang melakukan kerja untuk membakar jerami,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit darah tinggi sejak berusia 42 tahun dan ia disahkan sendiri oleh anaknya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah seperti lebam dan luka ditemukan pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi proses berikutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN










