Pam tiada sistem 'auto cut-off' punca meter terus rekod bayaran - KPDN

Pam tiada sistem ‘auto cut-off’ punca meter terus rekod bayaran – KPDN

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiasat penularan satu video di media sosial berhubung dakwaan pengisian diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada kehabisan stok diesel ketika proses pengisian sedang berlangsung.

Katanya, ketika insiden tersebut berlaku, meter pam didapati terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis.

“Hasil siasatan lanjut mendapati stesen minyak tersebut tidak dilengkapi sistem pengesan isipadu automatik atau ciri ‘automatic cut-off’ apabila stok kehabisan, sebaliknya bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual (‘manual dipping’),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, semakan turut mengesahkan jumlah sebenar diesel yang diisi adalah sebanyak RM232.07.

Katanya, pihak stesen telah mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan yang terlibat pada 9 April 2026 dan pengadu bersetuju dengan penyelesaian tersebut.

“Pemeriksaan teknikal yang dijalankan KPDN mendapati semua pam minyak di premis berkenaan masih berada dalam tempoh tentusah yang sah, manakala ujian menggunakan Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan sukatan berada dalam had selisih yang dibenarkan.

“Selain itu, semakan ke atas lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati lesen CSA dan PDA stesen berkenaan adalah sah serta masih berkuat kuasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak stesen telah diberikan amaran keras supaya memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan perundangan serta meningkatkan pemantauan operasi bagi mengelakkan kejadian berulang.

“KPDN menegaskan kejadian ini bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil serta terkawal.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. 

“KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN