PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri mencipta sejarah luar biasa apabila memerlukan empat perlawanan untuk memecahkan rekod dunia tanpa kalah dalam saingan liga domestik.
Berdasarkan perkongsian Johor Southern Tigers di laman Facebook rasmi mereka, skuad Harimau Selatan itu ketika ini telah mencatatkan 105 perlawanan tanpa tewas sejak 30 April 2021 hingga 11 April 2026, sekali gus mengukuhkan dominasi mereka sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia.
Rekod tersebut membolehkan JDT untuk mengatasi pencapaian kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang masih memegang rekod dunia dengan 108 perlawanan tanpa kalah antara tahun 1989 hingga 1994.
Pencapaian hebat ASEC Mimosas itu terhenti selepas mereka tewas kepada SO Armee, namun rekod berkenaan kekal utuh selama lebih tiga dekad dan kini semakin hampir untuk dipecahkan oleh wakil Malaysia itu.
Konsistensi dipamerkan JDT sepanjang tempoh berkenaan bukan sahaja mencerminkan kekuatan skuad malah menunjukkan kestabilan pengurusan serta perancangan jangka panjang yang menjadi tunjang kejayaan kelab berkenaan.
Tiga baki aksi liga menyaksikan JDT dijadual menentang Melaka FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW). – UTUSAN










