SEPANG: Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim berharap Malaysia mampu beraksi di Piala Dunia suatu hari nanti selepas kejayaan pasukan negara layak secara merit ke Piala Asia di Qatar.
Bintang Selangor FC itu, mengakui impian berkenaan tidak mustahil dan kejutan boleh berlaku di masa hadapan.
Jelasnya, pasukan negara di bawah kendalian Kim Pan Gon ketika ini sedang meningkat secara perlahan-lahan dan jika momentum itu dapat dikekalkan tidak mustahil kejutan boleh dilakar untuk ke Piala Dunia pula.
“Semua orang ingin bermain di pentas tertinggi seperti Piala Asia ataupun Piala Dunia. Tapi kita di landasan yang baik, kita ‘go step by step’ sekarang kita di pentas Asia.
“Mana tahu masa yang akan datang kita di Piala Dunia, siapa pun tak tahu kan. Benda ini tak boleh jangka.
“Tak ada orang boleh buat keputusan tapi yang penting itu semua hasil kerja keras kita,” ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi.
Pada Jun tahun lalu, skuad kebangsaan berjaya menamatkan badi 43 tahun untuk layak secara merit beraksi di Piala Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 1980 di Kuwait.
Biarpun pernah berentap di pentas sama pada 2007 lalu, namun ketika itu Malaysia beraksi atas tiket selaku tuan rumah bersama tiga lagi buah negara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Malaysia tidak pernah menjejakkan kaki ke Piala Dunia meskipun pada era 70an pasukan kebangsaan dianggap antara negara terkuat di Asia, dengan pencapaian tertinggi layak ke temasya Sukan Olimpik dua kali pada 1972 dan 1980.-UTUSAN