GAZA: Gaza kini mengecil kepada 43 peratus berbanding peta asal manakala lebih 50 peratus kawasan itu dikuasai kumpulan penjenayah bersenjata yang disokong Israel.
Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim berkata, kumpulan itu menyusup ke kawasan dikuasai pihak keselamatan Gaza untuk menyerang anggota al-Qassam dan pimpinan Hamas.
Beliau berkata, sokongan udara tentera Israel sering digunakan untuk melindungi kumpulan itu, jika mereka tewas dalam pertempuran.
“Pertempuran hampir setiap minggu berlaku antara polis Gaza dan kumpulan penjenayah bersenjata ini. Serangan tetap berlaku walaupun gencatan senjata diumumkan termasuk di Khan Younis dan utara Gaza.
“Tujuannya adalah untuk melumpuhkan semangat penduduk Gaza dan memaksa mereka keluar dari bumi mereka sendiri. Setiap hari, bantuan kemanusiaan sepatutnya dihantar melalui 600 lori tetapi jumlah sebenar yang sampai hanya antara 30 hingga 200 lori sahaja.
“Keadaan ini menyebabkan ramai penduduk kekurangan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas harian,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Megat Aiman berkata, akses bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas berada pada tahap kritikal, walaupun gencatan senjata diumumkan.
Katanya, hanya sekitar lima hingga 10 peratus bantuan kemanusiaan berjaya masuk sejak Oktober tahun lalu.
“Bekalan untuk membina semula Gaza langsung tidak dibenarkan masuk kerana pihak rejim mensyaratkan penyerahan senjata sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










