Dituduh rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura letak jawatan 

Dituduh rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura letak jawatan 

S. ISWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Menteri pengangkutan Singapura, S. Iswaran meletakkan jawatannya selepas didakwa atas 27 kesalahan di mahkamah hari ini berkaitan rasuah yang turut menjerat seorang jutawan dalam industri perhotelan.

Iswaran, 61, ditangkap pada Julai lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin berhubung siasatan rasuah peringkat tertinggi yang jarang berlaku di negara kota singa itu.

Iswaran berkata, beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang difailkan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah ketika dihadapkan ke mahkamah hari ini.

“Saya menolak dakwaan dalam pertuduhan dan kini akan memberi tumpuan kepada membersihkan nama saya,” tulis Iswaran dalam surat peletakan jawatannya yang disiarkan di laman web pejabat perdana menteri.

Kebanyakan pertuduhan terhadap Iswaran berkaitan rasuah, tetapi dia juga menghadapi pertuduhan menghalang keadilan.

Antara tuduhan lain dia didakwa menerima tiket ke acara sukan berprofil tinggi dan pertunjukan pentas daripada taikun hotel Ong Beng Seng, salah seorang individu terkaya Singapura.

Beng Seng, pengarah urusan Hotel Properties Limited, ditahan pada hari yang sama dengan Iswaran tahun lalu dan turut dibebaskan dengan ikat jamin.

Beng Seng dipuji kerana membantu membawa Grand Prix Formula Satu ke Singapura pada 2008.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mendedahkan Iswaran mengemukakan peletakan jawatannya daripada kerajaan, Parlimen dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada 16 Januari selepas diberi notis rasmi mengenai pertuduhan terhadapnya.

Menurut Hsien Loong, Iswaran juga berjanji untuk memulangkan wang yang diterima sebagai sebahagian daripada gaji dan elaunnya sejak penahanannya.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil keputusan berhubung siasatan terhadap Encik Ong dan yang lain, selepas kes terhadap Encik S Iswaran selesai,” kata AGC dalam satu kenyataan Khamis.

Siasatan rasuah mencengkam Singapura tahun lalu, sebuah hab kewangan global yang terkenal sebagai antara negara paling kurang rasuah di dunia.

Menteri-menteri Kabinet Singapura juga dibayar gaji setanding dengan golongan berpendapatan tinggi dalam sektor swasta bagi mencegah rasuah.

Profesor madya undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura, Eugene Tan berkata, kes rasuah Iswaran adalah ‘paling signifikan dari segi politik’ dalam sejarah Singapura.

Malah, katanya, ia sebagai tamparan hebat untuk PAP.

“Tetapi saya rasa pemerhati yang adil akan melihat rekod prestasi Singapura, akan melihat bagaimana kes ini ditangani setakat ini,” katanya.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya