REMBAU: Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 15, Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, mangsa, iaitu lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RSX dan dua buah kenderaan jenis Isuzu D-Max dipandu lelaki berusia 31 tahun serta Perodua Aruz dipandu lelaki berusia 46 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal dan kenderaa Isuzu D-Max dari arah Tampin menghala ke Seremban. Sebaik sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal telah cuba memotong Isuzu D-Max yang berada di hadapannya di kawasan garisan berkembar tetapi telah terlanggar bahagian lampu belakang kenderaan tersebut.
“Penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terlanggar bahagian sisi kanan hadapan Perodua Aruz yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal jatuh di atas jalan di garisan putih berkembar pembahagi jalan dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik lagi, kedua-dua pemandu lain bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.










