ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan membenarkan permintaan isteri bekas Perdana Menteri, Imran Khan untuk menjalani hukuman di penjara dan bukannya tahanan rumah yang diarahkan oleh kerajaan berikutan kebimbangan tentang keselamatan dirinya.
Bushra Bibi ditahan di rumah agam Imran di atas bukit di Islamabad sejak pasangan itu disabitkan pada Januari lalu atas tuduhan menjual hadiah negara secara haram.
Bagaimanapun, Peguamnya, Naeem Panjutha menerusi platform media sosial X memaklumkan Bushra membuat permohonan mencabar hukuman tahanan rumah yang dikenakan ke atasnya.
Melalui peguamnya, Bushra memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Islamabad, meminta untuk dipindahkan ke penjara.
Mahkamah memerintahkan pihak berkuasa memindahkannya ke penjara Adyala di bandar Rawalpindi, di mana Imran, 70, sedang menjalani hukuman selama 14 tahun.
Parti pimpinan Imran Khan, Tehreek-e-Insaf (PTI) dalam satu kenyataan berkata, Bushra mengadu dihidangkan makanan tercemar oleh pihak berkuasa di rumah itu yang diisytiharkan sebagai penjara kecil.
Pihak berkuasa dilaporkan menafikan tuduhan itu.-AGENSI










