Indahnya musim bunga di Thailand

Indahnya musim bunga di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJAN renyai sebaik kami tiba di Rantau Panjang pada pukul 5.30 pagi. Beberapa penunggang motosikal berjaket merah bersedia mengambil penumpang untuk ke mana saja dengan upah RM10.

Usai solat subuh, kami berjalan kaki sambil menarik beg masing-masing ke kompleks imigresen
Rantau Panjang, terletak kira-kira 200 meter dari situ.

Orang masih belum ramai masa kami beratur menjadikan proses cop passport lancar. Sebaik keluar, kami ke kompleks imigresen Thailand pula di seberang Sungai Golok.

“Kalau pernah masuk Thailand sebelum ini, sebaiknya bawa passport lama sebab mereka hendak tengok,” pesan wakil agensi pelancongan, Sabai.

Sebaik tiba depan kompleks itu, Khairi, agen dari Sabai menyambut kami.

Khairi menyerahkan kad putih yang sudah tertulis butir diri kami. Proses di imigresen ini juga berjalan lancar. Kami terus menaiki bas di kawasan parkir.

Bas bergerak meninggalkan kawasan imigresen pukul 8.30 pagi. Setengah jam kemudian, bas
berhenti di Bandar Sungai Kolok untuk kami menukar duit Thailand dan bersarapan di sebuah kedai kecil, Abe Pa Nasi Berlauk.

Kedai yang terletak di Cheunmunka Road ini menghidangkan nasi kerabu biasa berharga 30 Bhat (RM4). Kalau nak tambah sate dan cili colok 65 baht (RM9).

Lepas sarapan,kami menuju ke Hatyai. Perjalanan mengambil masa tiga setengah hingga empat jam. Sepanjang jalan hujan lebat.

“Sungai Kolok adalah daerah paling bawah sekali di selatan Thai dalam Wilayah Narathiwat. Thailand mempunyai 77 wilayah kesemuanya,” kata pemandu pelancong Sabai, Nasharuddin Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Din.

Dari Narathiwat bas menghala ke Hatyai mengambil enam lagi penumpang dari Padang Besar.
Kami menempuh wilayah Pattani dan Songkhla.

Hatyai sebenarnya terletak dalam wilayah Songkhla. Kami makan di kedai Dimsum Chabura,
Hatyai. Enam penumpang dari Padang Besar juga sudah tiba di kedai berkenaan seperti dijanjikan.

Di kedai ini, terdapat aneka dimsum yang boleh dipilih selain masakan panas seperti tomyam, ikan tiga rasa dan masakan Thailand lain.

 

MELEWATI MASJID KERISIK
Selepas solat di surau kawasan rawat dan rehat (RNR), bas bergerak meninggalkan Hatyai menuju ke Bangkok melalui wilayah Patani.

Bas melewati masjid tertua di wilayah Pattani dikenali sebagai Masjid Kerisik.

Ia turut dikenali sebagai Masjid Sultan Muzafar Shah atau ‘Masjid Pintu Gerbang’.

Masjid diperbuat daripada batu-bata itu dibina anak Sultan Ismail iaitu Sultan Muzafar Syah sekitar tahun 510 tahun.

Patani juga dipanggil Serambi Makkah kerana ramai ulamak seperti Sheikh Daud Abdullah al Fathani dilahirkan di situ. Di sini juga terdapat telaga Sheikh Daud yang dikatakan airnya boleh diminum untuk mengubat penyakit.

Ketika bas melewati wilayah Nakhonsithamarat, Din berkata penduduk di wilayah berkenaan tidak makan nasi sebaliknya mereka makan laksa sebagai makanan utama.

Laksa dimakan bersama lauk-pauk seperti kita makan nasi.

Wilayah Surat Thani yang jaraknya 600 kilometer dari Rantau Panjang paling ramai penduduk Islam. Wilayah ini paling terkenal dengan pengeluaran telur masin.

Ia dijual 24 jam di tepi jalan raya. Selain itu, terdapat juga makanan lain seperti dodol.

 

MANDI PUKUL 2 PAGI
Kira-kira pukul 2.00 pagi, bas berhenti di kawasan RNR di Prachuap Kiri Khan (Segenting Kera) dalam wilayah Chumpon.

Wilayah ini adalah paling sempit yang diapit oleh Laut Andaman di barat dan Teluk Thailand di Timur.
Menariknya, RNR ini sangat luas dilengkapi tandas, tempat mandi, surau yang cantik dan tempat makan.

Namun hanya ada enam kedai makan saja yang halal. Jika ingin mandi, bayaran dikenakan sebanyak 20 bhat saja.

Perjalanan diteruskan menuju ke Bangkok melewati Wilayah Petchaburi yang terkenal dengan keindahan pantainya.

Kira-kira pukul 7 pagi, sebelum tiba ke Bangkok kami bersarapan di kedai makan Faridah.

Sebenarnya tidak banyak kedai halal di wilayah ini. Menu sarapan adalah nasi campur. Antara yang enak adalah gulai kari daging gaya Petchaburi. Boleh dikatakan setiap kedai ada gulai ini.

Memasuki wilayah Samut Songkram, kami melihat petak-petak kolam. Kata Din, ia bukan kolam ikan sebaliknya bendang menghasilkan garam.

Selain untuk masakan, garam ini juga dijadikan penyental atau skrab badan.

PASAR KERETA API, AIR
Di wilayah ini terdapatnya pasar atas landasan keretapi yang dikenali sebagai Maeklong Station
berusia 60 tahun.

Kami berpeluang melihat pasar sepanjang 400 meter yang dibuka seawal pukul 6 pagi hingga 6 petang itu dan melihat keadaan pasar yang dipenuhi pelancong dari seluruh dunia.

Tepat pukul 8 pagi, kedengaran wisel dibunyikan menandakan keretapi bakal tiba. Semua peniaga segera menutup payung di gerai masing-masing.

Pelancong juga diminta berdiri di luar garisan kuning bagi mengelakkan dilanggar keretapi.
Sebaik keretapi lalu, semua mengambil gambar keretapi dan berswafoto dengan berlatar belakangkannya.

Din mengingatkan kami berhati-hati dengan penyeluk saku yang dipercayai didalangi orang dari China.

 

PASAR TERAPUNG TERTUA
Kami ke Pasar Terapung tertua yang berusia 100 tahun di Sungai Damnoen Saduak. Ada peniaga
yang menjual buah-buahan dan sayuran di atas sampan saja.

Kedai-kedai di tepi sungai pula menjual aneka barang cenderamata seperti baju, lukisan dan hasil kraf tempatan.

Di dalam kawasan jeti pula ada kedai makan halal. Kami sempat menikmati ais krim kelapa yang di letakkan di dalam buah kelapa.

Bas bergerak meninggalkan Damnoen Saduak kira-kira pukul 12.30 tengah hari menuju ke Bangkok
dan melintasi jambatan Sungai Chaophraya yang luas.

Kami dibawa makan tengahari di gerai-gerai peniaga Islam berhampiran stesen keretapi Bangkok. Gerai-gerai di sini menjual pelbagai masakan tempatan seperti mi sup itik, daging dan ayam, murtabak, dimsum dan nasi komok atau beriani Thai. Harga pun sangat berpatutan.

 

SUNGAI CHAO PHRAYA
Kami ke pusat membeli belah terbaharu dan terbesar, Icon Siam terletak di tebing Sungai Chao Phraya sebelah malam.

Pengunjung dapat melihat panorama kota Bangkok sepanjang sungai terpanjang di Thailand ini
dari tingkat tujuh.

Kami berkesempatan menaiki bot menyusuri sungai dengan bayaran tambag sehala, 100 baht.

Kami ke pasar malam Ramkangheng, di stadium nasional Bangkok. Ada peniaga Muslim yang
menjual aneka makanan seperti apam balik pelbagai perisa, nasi komok dan mi kerabu.

Kawasan sekitar pasal malam juga meriah dengan orang ramai yang duduk beramai-ramai sambil menikmati hidangan yang dibeli.

Malam itu, kami tidur nyenyak selepas dua malam tidur dalam bas.

MENJEJAKI BUNGA DI KHAO YAI
Usai sarapan, kami ke Khao Yai dalam Wilayah Nakon Ratchasima. Perjalanan dari Bangkok mengambil masa kira-kira tiga jam.

Menurut Din, lawatan ke Khao Yai dibuat dua kali setahun iaitu pada November dan Disember, lantaran waktu itu, angin sejuk dari China bertiup ke Khao Yai.

Sepanjang banyak ladang-ladang bunga beraneka warna seperti lavender, bunga balung ayam, lotus dan jasmin.

Berbunga hati bila ke Hokkaido Flower atau Khao Yai Flower Park.

Bunga berwarna merah, ungu, biru, kuning dan putih bagaikan hamparan permaidani indah berlatar
belakangkan bukit-bukau menghijau.

Sebaik sampai, semua tidak sabar berposing di tengah-tengah hamparan bunga yang dikenali sebagai Margaret, bunga merah Celosia, daisy dan kosmos.

 

LADANG BUNGA MATAHARI
Teruja betul bila melihat ladang yang dipenuhi bunga matahari saujana mata memandang.

Walaupun bunga matahari semakin menunduk, ia masih cukup menawan hati.

Ladang bunga matahari seluas lebih 200 ekar ini terletak di daerah Pak Chong sama dengan Hokkaido Flower. Di sini pengunjung boleh bergambar di beberapa binaan khas seperti pelantar dan buaian.

Ada gerai menjual hasil daripada bunga matahari seperti kuaci dan cenderamata lain untuk
dibawa pulang.

Kembara menjejaki bunga di Khao Yai cukup meninggalkan memori indah. Sebelum pulang kami singgah bermalam di Pattaya sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dan ke sempadan Rantau Panjang. -UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.