1,262 polis Sarawak bersedia hadapi musim MTL

1,262 polis Sarawak bersedia hadapi musim MTL

MANCHA Ata (tengah) bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat persiapan menghadapi Op Banjir – MTL 2023/2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching, Sarawak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Polis kontinjen Sarawak bersiap siaga bagi hadapi bencana banjir di negeri ini dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac tahun depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, seramai 1,262 orang petugas terdiri daripada 187 pegawai kanan dan 1,075 anggota polis akan digerakkan berserta pelbagai aset pada bila-bila masa diperlukan.

“Sejumlah 1,335 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada 348 buah aset darat, 832 buah aset laut/sungai, 11 unit aset udara dan 144 aset sokongan (khemah, genset) siap sedia diatur gerak sepanjang tempoh MTL ini.

“Penugasan ini juga akan melibatkan agensi-agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta lain-lain agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat persiapan menghadapi Op Banjir – MTL 2023/2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Menurut Mancha lagi, pihaknya bertindak sebagai komander operasi dan dibantu bomba sebagai timbalan komander bencana.

“PDRM akan berperanan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.

“Justeru, penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir dinasihatkan supaya bersiap sedia menyimpan dokumen-dokumen penting serta barangan keperluan, dan sentiasa peka dengan amaran awal banjir untuk berpindah dengan kadar segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Sebagai rekod, menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang dikeluarkan pada 7 November 2023, MTL 2023/2024 atau musim tengkujuh di Malaysia bermula pada 11 november 2023 dan berterusan dijangka sehingga Mac 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN