Nasihat beta diibarat mencurah air ke daun keladi - Sultan Selangor

Nasihat beta diibarat mencurah air ke daun keladi – Sultan Selangor

Sultan Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat pada Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 2026, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap isu banjir di negeri ini apabila nasihat baginda kepada kerajaan negeri selama ini diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’.

Baginda bertitah, pernah menasihatkan kerajaan negeri supaya merujuk kepada pakar-pakar di luar negara terutama Belanda bagi mendapatkan idea terbaik dalam mengatasi masalah banjir di Selangor.

“Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja. Beta difahamkan setiap tahun akan ada peruntukan daripada belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir, namun tiada hasil berkesan dapat dilihat hingga ke hari ini.

“Banjir masih tetap berlaku di beberapa kawasan terutama di kawasan perumahan di daerah-daerah negeri ini sehingga menyusahkan rakyat beta. Pada hari ini, beta sekali lagi menasihati kerajaan beta agar memberikan fokus utama di dalam mengatasi masalah banjir.

“Perancangan dan tindakan untuk jangka masa pendek mahupun sederhana dan panjang perlu dilaksanakan segera,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Malah, Sultan Sharafuddin menegaskan tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih itu diselesaikan dan ditamatkan secara menyeluruh.

Selain itu, baginda turut menyatakan kegagalan kerajaan menangani isu jalan berlubang serta berbahaya dan menitahkan supaya pendekatan lebih sistematik, bersepadu dan berkesan dilaksanakan.

“Isu jalan berlubang dan berbahaya sering menjadi rungutan rakyat dan menyusahkan rakyat beta. Ahli-ahli yang berhormat perlu tahu beta sering menerima aduan secara bertulis daripada rakyat tentang segala kegagalan kerajaan menangani masalah-masalah asas rakyat.

“Jangan asyik bercakap sahaja dan jangan sampai rakyat hilang rasa percaya kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian,” tegas baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN