LOS ANGELES: Kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat (AS), The Strokes, meraih perhatian dunia apabila menggunakan persembahan penutup mereka di festival muzik Coachella bagi mengecam sejarah campur tangan luar negara oleh AS serta tindakan ketenteraan berterusan negara itu dan Israel di Iran serta Gaza.
Ketika minggu kedua festival tahunan yang berlangsung di California Selatan itu, kumpulan berkenaan menamatkan persembahan malam Sabtu dengan lagu terakhir mereka, Oblivius sambil memaparkan montaj visual di skrin LED gergasi pentas yang menunjukkan pelbagai insiden penglibatan disahkan dan disyaki oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam menggulingkan kerajaan asing.
Paparan visual bermula dengan imej masjid yang terang sebelum bertukar kepada potret Perdana Menteri Iran yang dipilih secara demokratik, Mohammad Mossadegh, yang digulingkan daripada kuasa pada tahun 1953.
Penggulingan itu kemudiannya disahkan melalui dokumen sulit AS yang dinyahklasifikasikan sebagai rampasan kuasa yang dirancang CIA dengan kerjasama Britain.
Imej tersebut terus dipaparkan ketika vokalis utama kumpulan itu, Julian Casablancas, menyanyikan lirik berbunyi: “What side you standing on?”
Rakaman persembahan itu pantas tular di media sosial, dengan satu klip melepasi 3.7 juta tontonan di platform X hanya dalam tempoh semalaman.
Penganjur Coachella bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung persembahan berkenaan dan tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Selain Iran, The Strokes turut menyorot dakwaan penglibatan CIA dan Belgium terhadap Patrice Lumumba, perdana menteri pertama Congo yang dipilih secara demokratik, selain rampasan kuasa terhadap Presiden Bolivia, Juan José Torres, dan Presiden Guatemala, Jacobo Árbenz.

Montaj itu turut merujuk kepada dakwaan penglibatan CIA dalam penggulingan Presiden Chile, Salvador Allende, serta kematian akibat nahas pesawat pemimpin tentera Panama, Omar Torrijos, dan Presiden Ecuador, Jaime Roldós Aguilera.
Turut dipaparkan ialah dakwaan penglibatan kerajaan dalam pembunuhan aktivis hak sivil terkenal, Martin Luther King Jr., dengan tajuk pada skrin mendakwa kerajaan AS ‘didapati bersalah atas pembunuhannya dalam perbicaraan sivil’.
Protes visual kumpulan tersebut berakhir dengan rakaman yang menyatakan lebih 30 universiti di Iran telah diserang sejak serangan udara AS-Israel bermula awal tahun ini, berdasarkan angka dilaporkan oleh Kementerian Sains dan Teknologi Iran.
Ia kemudian disusuli paparan mengenai Al-Israa University, universiti terakhir yang masih berdiri di Semenanjung Gaza sebelum dimusnahkan tentera Israel pada tahun 2024.
The Strokes menjadi artis terbaharu yang secara terbuka mengecam tindakan Israel di Gaza di pentas antarabangsa, ketika semakin ramai penggiat seni menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat Palestin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada minggu pertama Coachella tahun ini, penyanyi Gigi Perez turut menyeru kepada “Palestin Merdeka” sambil mengecam agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS.
Tahun lalu, kumpulan hip-hop Ireland, Kneecap, tampil dengan paparan skrin bertulis ‘F— Israel, Free Palestine’.
Komen politik serupa turut bergema di Glastonbury Festival apabila Kneecap dan duo punk England, Bob Vylan, dikritik kerana mengetuai sorakan penonton yang menyokong Palestin dan mengecam Israel










