Pembangkang sedia jika PRU16 lebih awal - Hamzah - Utusan Malaysia

Pembangkang sedia jika PRU16 lebih awal – Hamzah

HAMZAH Zainudin (kanan) bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Larut di Batu Kurau semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Pembangkang sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembangkang tidak terikat dengan tempoh penggal semasa sebaliknya bersedia dari segi jentera bagi menghadapi kemungkinan PRU16 diadakan awal.

“Kita bersedia pada bila-bila masa sekalipun. Apabila mereka mengumumkan pembubaran, kita akan tunjukkan bahawa kita sudah bersedia dengan jentera untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Larut di Batu Kurau di sini semalam.

Mengulas kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, Hamzah berkata, kebiasaannya keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap peluang untuk mereka menang.

“Sudah tentu apabila kerajaan mahu mengadakan pilihan raya awal, mereka sudah membuat perkiraan bahawa mereka boleh menang. Jika tidak, lazimnya pembubaran awal tidak akan diumumkan,” katanya.

Hamzah bagaimanapun tidak menolak kemungkinan langkah itu juga bertujuan menguji reaksi pembangkang terhadap situasi semasa politik negara.

“Buat masa ini pembangkang tidak menunjukkan reaksi secara terbuka sama ada positif atau sebaliknya kerana kita mengambil pendekatan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, tumpuan pembangkang kini lebih terarah kepada usaha mendekati rakyat melalui pelbagai program di peringkat akar umbi.

Katanya, sambutan terhadap program yang dianjurkan menunjukkan sokongan berterusan rakyat terhadap pembangkang.

“Kalau kita lihat program di Larut ini, sambutan rakyat amat menggalakkan. Itu sudah cukup memberi gambaran tentang sokongan semasa,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat ribuan ahli UMNO kembali menyertai parti itu, Hamzah menyifatkan perkara tersebut sebagai dakwaan pihak tertentu.

“Kalau benar sekalipun, itu baik untuk mereka. Tetapi kita harus ingat jumlah pengundi jauh lebih besar daripada angka yang disebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN