PETALING JAYA: Latihan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) berjalan baik dengan melibatkan seramai 20 Pengadil, 21 Penolong Pengadil dan 14 ‘Replay Operator’ dan ia telah bermula sejak 20 November lalu dan akan tamat pada 4 Disember 2023.
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata sesi yang telah memasuki fasa ketiga berjalan lancar dan beliau percaya pengadil negara akan mula mahir menggunakan teknologi berkenaan.
“Saya boleh nampak perkembangan dan perjalanan latihan ini berjalan dengan lancar dan kita harapkan para pengadil akan dapat menajamkan lagi kefahaman mereka dalam mengendalikan VAR pada musim akan datang,” katanya ketika melakukan tinjauan di latihan VAR fasa ke-3 yang diadakan di padang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya hari ini.
Tinjauan tersebut turut dihadiri oleh Datuk S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM dan C. Ravichandran sebagai Ketua Projek VAR bagi melihat sendiri bagaimana proses latihan kali ini yang tertumpu kepada Perlawanan Praktikal.
Sebanyak 5 kamera digunakan dalam Latihan VAR perlawanan praktikal ini dan ia menepati kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.
Latihan VAR fasa ketiga ini telah dikendalikan oleh enam instruktur FAM diketuai oleh C. Ravichandran , Kassim Kadir Bacha, Abdul Basith Shahul Hamid, Nagor Amir Noor Mohamed, Mohd Sabri Mat Daud dan M. Sivanesan di mana keenam-enam instruktur ini melakukan pemantauan dengan pengiktirafan dari FIFA.
Bermula 29 November hingga 4 Disember 2023, latihan VAR fasa ketiga ini akan disertai oleh seorang instruktur VAR FIFA, Igor Radojcic dari Serbia.
“Pagi ini saya berpeluang untuk melihat sendiri latihan perlawanan praktikal para pengadil FAM untuk persiapan mengadakan VAR bagi Liga Malaysia pada musim akan datang.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan terdapat pengadil juga di tempat operasi VAR di mana saya ada dengar sendiri bagaimana percakapan pengadil di padang dan juga pengadil di tempat operasi ini untuk lihat mereka berkomunikasi dan sebagainya.
“Saya melihat pengadil-pengadil yang mengendalikan daripada di luar dan juga di tempat operasi telah memahami dengan baik proses ini dan selepas itu saya ada ke padang juga untuk melihat perlawanan praktikal pemain daripada pasukan ATM (Angkatan Tentara Malaysia),” katanya.
Latihan fasa ke-3 adalah fasa yang sangat penting kerana fasa ini memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi VAR dalam perlawanan.
Semua rakaman Video yang melibatkan setiap Pengadil, Penolong Pengadil dan ‘Replay Operator’ wajib di hantar ke FIFA melalui platform ‘Implementation Assistance and Approval Programme Requirements’ (IAAP).