“DALAM 15 tahun akan datang, saya bayangkan songket dapat sampai ke Menara Eiffel.”
Demikian visi Pengarah Bkay Nair Resources, Tryambikay Vengades,41, untuk ‘menakluk’ menara ikonik di kota fesyen Paris bagi penganjuran acara fesyen gah bertemakan tekstil itu.
Matlamatnya adalah untuk memartabatkan songket sekali gus membuka mata dunia terhadap ketinggian seni kraf tempatan bermutu tinggi itu.
Pemilihan lokasi itu tepat memandangkan Menara Eiffel merupakan lokasi tradisi bagi peragaan label-label mewah sempena Minggu Fesyen Paris, saban tahun.
“Di situlah lubuk jenama mewah. Bayangkan, busana songket kebanggaan kita digayakan dengan megah di hadapan ratusan peminat fesyen antarabangsa,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Lebih dikenali dengan nama Bkay Nair, katanya, impian besar itu bukan sekadar angan-angan sebaliknya bersulamkan kesungguhan.
Jelitawan berasal dari Kulai, Johor ini, memiliki semangat berkobar-kobar. Cinta mendalamnya pada seni, budaya serta warisan negara terpancar jelas menerusi sinar matanya.
Malah beliau baharu sahaja selesai menganjurkan Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa dengan menjadikan songket dan batik sebagai bahan utama dalam penghasilan busana inspirasi sari baru-baru ini.
Acara fesyen julung kali diadakan itu mendapat sambutan luar biasa menerusi penglibatan 11 pereka tempatan.
Kesungguhan mempertahankan produk tradisi tempatan timbul sejak kecil lagi apabila beliau menyertai seni tarian zapin sewaktu di bangku sekolah lagi.
“Motivasi itu, bermula sejak saya berusia kanak-kanak lagi sebab saya membesar dalam persekitaran orang Melayu di kuaters kerajaan di Kulai.
“Bergaul dengan orang Melayu, malah turut berjoget zapin dan membuat persembahan di majlis-majlis rasmi.
“Lama-kelamaan, wujud perasaan sayang pada budaya dan warisan Melayu hingga terpanggil untuk memperkenalkan sari dengan menggunakan fabrik songket serta batik,” katanya.
ADA 50 batik, songket
Hingga kini, penyandang Miss Malaysia Kebaya Timeless Elegant Queen ini memiliki lebih 50 songket dan batik dalam koleksi peribadinya.
Daripada jumlah itu, kira-kira 30 helai, dijahit bagi membuat baju.
“Tekstil ini saya beli setiap kali terlibat dalam tugasan kerja luar ke pelbagai negeri.
“Saya suka sebab fabrik dan motif setiap negeri memiliki keunikan tersendiri.
“Sabah misalnya sentuhannya tidak sama dengan di Kelantan atau Terengganu daripada segi motif,” katanya.
Selain dijadikan set lengkap pakaian, beliau juga gemar menyuaipadan baju kebaya dengan skirt atau seluar untuk sentuhan moden.
Malah, fesyen itu turut digayakan ke pejabat dan majlis-majlis rasmi.
“Saya sukakan idea suai padan kerana dapat mencipta penampilan korporat dan tradisional dalam masa sama.
“Ada juga kebaya lama saya yang sudah ketat atau tidak muat. Ia tidak dibuang, sebaliknya fungsi baju itu ditukar sebagai outerwear tanpa perlu dikancing dan hasilnya menarik,” katanya tertawa.
‘SAYA ORANG MALAYSIA’
Bekas ratu cantik yang juga pelakon Ratu The Movie ini mengakui wujud segelintir masyarakat yang mempersoalkan minatnya pada kebudayaan dan warisan Melayu.
Mentaliti itu wujud, semata-mata kerana dirinya berbangsa India.
“Dari kecil saya selalu menganggap diri saya sebagai orang Malaysia dan bukan orang (bangsa) India.
“Saya turut sematkan pada diri yang saya merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang berjuang untuk memartabatkan warisan negara,” katanya.
Dalam masa sama, Bkay sebetulnya selesa menjadi orang ‘Melayu’. Malah penglibatan dalam bidang hiburan kira-kira 15 tahun lalu juga dalam industri Melayu.
“Saya selalu juga diberikan watak-watak Melayu walaupun berbangsa India. Tiada masalahpun untuk saya sebab saya selesa dengan keadaan itu,” kata anak tunggal ini.

SARI MALAYSIA
Inisiatif memperkenalkan sari Malaysia timbul bagi mencipta produk warisan ‘baharu’ untuk diketengahkan ke mata dunia.
Sari Malaysia diinspirasikan daripada pakaian tradisi India itu dengan elemen selendang dan lisu.
“Mungkin masih ada yang tidak tahu, semua sari diimport dari India kerana industri di sana sangat besar.
“Tidak ada pembuatan sari tempatan di Malaysia dan timbul idea untuk menggerakkan usaha itu dengan menampilkan tekstil songket dan batik.
“Saya terkejut dengan kreativiti setiap pereka kerana busana sari inspirasi yang dihasilkan itu amat menarik, sopan dan sesuai digayakan pelbagai bangsa,” katanya yang turut berharap busana itu dapat diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO).
Langkah itu secara tidak langsung, memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk memakai sari tanpa mengira latar bangsa sekali gus mempromosikan tekstil tempatan.

PEJUANG WARISAN
Hasil kerja keras ditonjolkan selama ini, menyebabkan beliau digelar sebagai pejuang warisan.
Beliau menghargai gelaran itu kerana secara tidak langsung menggambarkan usahanya diterima masyarakat.
“Saya menerima dengan baik sebab kredit itu diberikan oleh orang ramai.
“Perjalanan saya masih panjang dalam bidang ini dan saya akan terus melangkah untuk merealisasikan setiap impian saya sehingga ke Menara Eiffel,” katanya.
‘Usah diskriminasi diri sendiri’
Sepanjang 12 tahun mengendalikan syarikat konsultan latihan, Bkay melalui pelbagai cabaran dan pengalaman.
Justeru, pesannya kepada wanita, supaya tidak mudah berputus asa dengan ujian dan dugaan.
Paling penting katanya, usah sesekali mendiskriminasi diri sendiri sebelum dilakukan oleh orang lain.
“Wanita kena kuat semangat, sabar dan jangan lekas putus asa kerana cabaran sentiasa akan ada untuk menjadikan kita insan lebih baik daripada semalam.
“Antara amalan saya ialah, setiap hari sebelum tidur dan selepas bangun saya cakap pada diri, semuanya akan jadi baik dan sentiasa berfikiran positif untuk bekerja,” katanya.
Ketika sesi temubual dijalankan pada 24 Oktober lalu, Bkay kelihatan ceria, namun di dalam hati, wanita ini bergelut menahan air mata.
Kongsinya, kucing kesayangan yang dijaga selama 14 tahun, menghembuskan nafas terakhir, malam sebelumnya kerana faktor usia.
“Baby dijaga dari kecil lagi dan sentiasa di sisi setiap hari termasuk setia menunggu saya balik kerja.
“Jika bekerja di rumah secara dalam talian pula, Baby gemar duduk di atas riba. Pemergiannya satu kehilangan besar untuk saya,” katanya sebak. –UTUSAN










