Keluarga pupuk nilai murni jadikan Malaysia hebat  - Utusan Malaysia

Keluarga pupuk nilai murni jadikan Malaysia hebat 

ANWAR Ibrahim merasmikan sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini diajak untuk kembali memupuk nilai murni dalam keluarga sejak awal sebagai usaha bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan itu juga seiring dengan konsep dibawa Kerajaan Madani ketika ini dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia.

“Negara Madani wajar dipupuk dan diangkat bermula daripada institusi keluarga dan saya anggap bulan keluarga ini sangat penting untuk menjayakan negara Madani,” katanya ketika berucap pada pelancaran Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di sini hari ini yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh tragedi yang berlaku di Palestin apabila penduduk negara ini mula didedahkan balik kepada isu kemanusiaan dan kasih sayang sejagat.

Senario dunia ketika ini katanya, menyaksikan isu keganasan di Palestin membuatkan masyarakat di negara ini mudah tersentuh ekoran sudah dilatih untuk kenal apa itu ihsan.

“Mereka bukan satu kaum dengan kita, ada Arab Islam ada Kristian tetapi latihan asas dari keluarga, kita tahu apa itu kebaikan menyebabkan perasaan terguris bila ada kezaliman. Bagi Malaysia yang ada pelbagai kaum dan agama, latihan keluarga penting dalam mendidik anak dari nilai juga menjadi salah satu tonggak memahami negara Madani,” katanya.

Tambah beliau, para pemimpin masyarakat turut dinilai dari sudut keupayaan mengawal, mendidik, mengasuh dan mengasihi keluarga dalam membentuk pemimpin yang berjaya.

“Kalau institusi keluarga pun sudah porak peranda, maka sukar hendak bentuk masyarakat, bahkan jika keluarga porak peranda maka sukar hendak atur bina balik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN