Jadi pemilik kelab Liga M tidak jamin untung

Jadi pemilik kelab Liga M tidak jamin untung

PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) antara pasukan yang didakwa berdepan masalah tunggakan gaji musim lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menguruskan kelab Liga Malaysia (Liga M) tidak memberi jaminan keuntungan berlipat kali ganda, sebaliknya pemilik atau pihak pengurusan perlu mengeluarkan duit poket sendiri serta membuat pinjaman untuk kelangsungan pasukan.

Perkara itu, sekali gus menepis anggapan banyak pihak yang mengatakan pemilik kelab boleh membuat ‘duit’ jika memiliki pasukan bola sepak kerana mempunyai nilai tajaan yang banyak selain memiliki peluang perniagaan lain berkaitan bola sepak.

Perkara yang sama berlaku di kem Kuala Lumpur (KL) City apabila pihak pengurusan terpaksa berpusing ‘360’ darjah untuk mencari dana bagi memastikan kelab berkenaan berada di landasan terbaik termasuk dalam soal pembayaran gaji pemain.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, banyak perkara yang berada dalam fikirannya untuk menguruskan KL City dan dia juga terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk membiayai pasukan.

Khalid Abdul Samad

Khalid berkata, selain dia, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard turut membuat pinjaman untuk memastikan kelangsungan pasukan dan mereka berdua menganggap itu merupakan komitmen yang perlu ada dan pengorbanan untuk pasukan terus relevan.

“Saya membuat pinjaman kira-kira RM300,000 dan Stanley pun jumlah yang sama. Ini adalah kerana komitmen kami demi kelangsungan pasukan. Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000.

“Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan dan kita komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih dua bulan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Mengulas lanjut, Khalid turut mengakui bahawa KL City ketika mengalami tunggakan gaji selama dua bulan iaitu September serta Oktober manakala, gaji Ogos akan diselesaikan hari ini dan tarikh gaji September pula ada 7 November.

“Ini (tunggakan tidak lebih dua bulan) satu keadaan yang KL City harungi sejak mula saya ambil alih tugas presiden lagi. Biarpun, hadapi banyak masalah, kita tetap berjaya dan jadir juara Piala Malaysia selain ke final Piala AFC.

“Jadi, soal gaji ni, kita bayar dan tunggakan tidak sampai empat bulan. Untuk musim ini kita dapat bajet RM7 juta daripada DBKL. Saya dan Stanley juga sudah buat pasukan ini milik kami dan terpaksa cari tajaan dengan impian mahu KL City jadi pasukan utama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan bahawa Rinani Group Berhad (Rinani) telah bertindak mengurangkan peratusan pemilikan saham kepada 10 peratus berbanding 51 peratus yang dipersetujui di peringkat awal.

“Pada musim ini, Rinani masuk tetapi, malangnya dia hanya bayar RM2.8 juta. Terbaru, Mereka tulis surat untuk kurangkan penajaan dan mahu pegang 10 peratus sahaja atas sebab masalah tertentu yang mereka hadapi,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN