REMBAU: Suspek utama kes penemuan mayat di dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan di Jalan Pedas-Linggi, Rembau di sini pada 18 Disember lalu pernah mengakui telah mengahwini seorang wanita dari Sarawak.
Perkara tersebut dimaklumkan seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Rahim, 63, yang mendakwa suspek tersebut datang menyapanya pada 11 Disember lalu ketika lelaki itu pulang mengemas kawasan rumah ibunya yang sudah lama kosong.
“Semasa saya sedang kemas pokok di kawasan rumah, tiba-tiba dia datang bersalam dan sempat berbual dengan saya. Dia memberitahu dirinya sudah lama bercerai sebelum berkahwin baharu dengan seorang wanita berasal dari Sarawak.
“Saya tanya kenapa tidak tinggal bersama isteri di rumah pusaka itu, tetapi dia kata isterinya selalu ‘terbang’ dan jarang menetap di satu tempat,” katanya ketika ditemui semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan polis masih belum dapat mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di sini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pengesahan identiti hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum masih diperoleh.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada identiti mayat wanita itu adalah usahawan, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang rakan Suri yang hanya mahu dikenali sebagai Jue, 53, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Rembau berkata, mereka membesar bersama di kampung halaman di Kuching, Sarawak sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Sementara itu, Rahim turut memaklumkan rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat tersebut merupakan milik arwah kakak suspek manakala rumah ibu suspek terletak di kawasan berhampiran.
“Setakat yang saya kenal dia memang baik. Penduduk kampung memanggilnya ‘adik’ kerana dia anak bongsu. Dia memang normal dan kami siap boleh bergurau senda. Memang tak pernah nampak apa-apa yang mencurigakan,” katanya.-UTUSAN.










