PASIR MAS: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mahu pengilang menghentikan ‘permainan’ harga padi bagi mengelakkan berlakunya kenaikan harga beras lepas tinggi di pasaran pada masa akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, situasi itu dilihat berlaku apabila ada pengilang berlumba-lumba membuat pembelian padi pada harga yang lebih tinggi.
“Apabila kilang-kilang membeli padi dengan harga tinggi, mereka tidak menyedari situasi berkenaan akan memberi kesan kepada harga beras.
“Jadi, saya berharap kilang menghentikan permainan ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Pasir Mas 2023 di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong di sini hari ini.
Mahfuz memberitahu, LPP yakin para pesawah sudah memahami situasi tersebut dan tidak akan menyalahkan kerajaan berhubung perkara tersebut.
Katanya, situsai itu memperlihatkan pengilang seolah-olah menunggang petani untuk menghentam kerajaan.
“Sedangkan kerajaan telah melihat semua kesan yang bakal berlaku. Sekiranya kerajaan membenarkan pengilang membeli padi sehingga RM1,800 per tan metrik, cuba bayangkan harga beras di pasaran dan kita akan menanggung harga beras yang tinggi.
“Walaupun beras akan mengalami kenaikan selepas ini namun kita akan cuba pertahankannya dengan harga yang munasabah,”katanya. – UTUSAN










