PETALING JAYA: Peniaga di Uptown Kota Damansara, dekat sini berputih mata selepas gerai mereka musnah terbakar hari ini.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.34 malam berhubung kebakaran tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik, BBP Damansara dan BBP Petaling ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan kawasan bangunan gerai-gerai Uptown Kota Damansara berkeluasan 70×100 kaki persegi yang 90 peratus terbakar.
“Kejadian itu turut hampir memusnahkan sebuah pusat gimnasium berhampiran lokasi kejadian.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.06 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian itu tidak melibatkan mangsa.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman sepenuhnya sedang dilakukan oleh anggota Bomba.
Terdahulu, tular dalam media sosial beberapa video menunjukkan deretan gerai di Uptown Kota Damansara terbakar.
Malah, ketika kejadian dipercayai berlaku terdapat pengunjung di lokasi kejadian namun tiada sebarang kecederaan berlaku.- UTUSAN