Siapa Ketua Pembangkang bukan keputusan dalaman parti

Siapa Ketua Pembangkang bukan keputusan dalaman parti

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang jawatan Ketua Pembangkang perlu ditentukan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang dan tidak terikat kepada ketetapan dalaman sesebuah parti.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sokongan secara kolektif daripada ahli Parlimen Pas dan majoriti wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau berkata, pengumuman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Reset Malaysia sebelum ini telah merungkai polemik mengenai kedudukan jawatan itu.

“Kenyataan tersebut memberikan legitimasi kepada Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dengan sokongan majoriti secara kolektif yang jelas daripada blok ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ronald berkata, sokongan secara blok daripada ahli Parlimen Pas bukan sekadar pendirian politik, malah memperkukuh struktur semak dan imbang Parlimen berlandaskan amalan demokrasi.

Katanya, berdasarkan sistem Westminster dan konvensyen negara-negara Komanwel, pelantikan Ketua Pembangkang bergantung kepada jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, kedudukan itu tidak seharusnya ditentukan berdasarkan hierarki atau keputusan dalaman sesebuah parti politik semata-mata.

“Dalam situasi hubungan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini, kedudukan Ketua Pembangkang wajar ditentukan oleh ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut diperuntukkan dalam Peraturan 4A (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan Ketua Pembangkang ialah individu yang memimpin keseluruhan kumpulan pembangkang.

Katanya, Peraturan 4A (4) pula memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengesahkan ahli Parlimen yang memperoleh sokongan majoriti dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

“Memandangkan Hamzah terus mendapat kepercayaan jelas daripada ahli Parlimen Pas secara blok dan majoriti ahli Parlimen Bersatu, kedudukan beliau adalah utuh.

“Kedudukan itu tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana ketetapan dalaman parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN