PORT DICKSON: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bersedia menerima apa juga keputusan kepemimpinan Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkenaan sama ada beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun tidak.
Ketua penaja Wawasan Negeri Sembilan itu berkata, jika diberikan kepercayaan beliau akan menerimanya tidak kira di mana juga kawasan yang dirinya akan diletakkan sebagai calon.
“Saya boleh sahaja bertanding atau tidak bertanding. Saya orang parti, jika parti mengarahkan saya bertanding di Gemas, saya akan bertanding di Gemas dan bukannya di Port Dickson.
“Jika diarahkan bertanding di Port Dickson, saya akan bertanding di sana. Namun, semuanya bergantung kepada rundingan kerana pendekatan utama kami adalah untuk menyatukan kekuatan,” katanya pada sidang akhbar Wawasan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Badrul Hisham yang juga pemimpin Gerakan Reset Negeri Sembilan berkata, jumlah kerusi untuk ditandingi bukan menjadi keutaman Wawasan ketika ini.
“Fokus utama adalah memastikan semua parti selain PH dapat membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan kukuh,” katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan, Wawasan bukan ditubuhkan sebagai pemecah undi sebaliknya berperanan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negeri dan negara. – UTUSAN










