PETALING JAYA: DAP tidak sepatutnya dijadikan musuh ketika berkempen tetapi diterima sebagai rakan apabila melibatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pendekatan sedemikian hanya menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar pemimpin serta menghakis keyakinan rakyat.
Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri wajar disokong.
Katanya, percanggahan timbul apabila sebelum ini pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) sering dijadikan sasaran politik tetapi kini tiada masalah untuk berkongsi pentas serta melaksanakan projek bersama.
“Jika selama ini DAP dan pimpinan PH sering dijadikan sasaran politik, mengapa hari ini tiada masalah untuk berkongsi pentas, menghadiri program bersama dan melaksanakan projek secara bersama?
“Adakah naratif yang dimainkan sebelum ini sekadar retorik politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu atau pendirian yang dipegang selama ini sebenarnya tidak konsisten?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, rakyat semakin matang dalam menilai tindakan pemimpin dan tidak mudah menerima politik yang berubah mengikut keadaan.
Katanya, DAP tidak seharusnya digambarkan sebagai ancaman ketika pilihan raya tetapi diterima apabila melibatkan pelaburan, infrastruktur dan projek kerajaan.
“Politik seperti ini hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan seseorang pemimpin,” katanya.
Mahfuz berkata, Johor turut menerima manfaat daripada kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan termasuk menerusi projek strategik kementerian yang diterajui pemimpin PH.
Beliau berkata, tidak adil sekiranya kejayaan hasil kerjasama itu mahu dikongsi tetapi sentimen kebencian terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan terus dimainkan untuk kepentingan politik.
Katanya, politik matang menuntut pemimpin bersikap konsisten dan berani mengakui kerjasama dengan DAP serta PH memberikan manfaat kepada rakyat.
“Jangan jadikan sentimen kebencian sebagai modal politik ketika pilihan raya tetapi akhirnya bergantung kepada pihak yang sama apabila berada dalam kerajaan.
“Jika semalam DAP dijadikan ancaman, mengapa hari ini boleh menjadi rakan pembangunan? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur,” katanya. – UTUSAN










