TIRANA, Albania: Bekas penyerang Ghana, Raphael Dwamena meninggal dunia selepas terkena serangan jantung ketika perlawanan liga Albania antara KF Egnatia dan FK Partizani semalam.
“Pasukan perubatan bergegas membawanya ke hospital dan dia meninggal dunia pada usia 28,” kata Persekutuan Bolasepak Albania.
Dwamena mempunyai lapan kap untuk Ghana, malah, pernah dianggap antara bintang sedang meningkat naik negara itu tetapi masalah jantung yang dihadapi menjejaskan kariernya.
Pada tahun 2017, penyerang itu gagal menyertai Brighton ekoran masalah kesihatan, dan dia terpaksa berpindah ke Sepanyol.
Empat tahun kemudian, Dwamena rebah ketika aksi di Austria antara pasukannya Blau-Weiss Linz menentang Hartberg namun dia kembali pulih untuk terus bermain.
Sebelum berlaku insiden itu, Dwamena pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2020 dan membolehkan dia meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.
Dia kemudian berkelana ke Denmark, Austria dan Switzerland sebelum menyertai kelab Albania, KF Egnatia pada Januari tahun ini.
Dwamena sedang mendahului senarai penjaring liga Albania musim ini dengan sembilan gol.- AFP










