Tiada isu gangguan bekalan diesel di Negeri Sembilan

Tiada isu gangguan bekalan diesel di Negeri Sembilan

SEORANG petugas stesen minyak menunjukkan baki stok petrol kepada Faizah (dua dari kanan) dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, Seremban, Negeri Sembilan hari ini-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada isu berkaitan gangguan bekalan diesel di negeri ini malah ia mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Faizah Othman berkata, pihaknya namun mengakui hasil pemantauan mendapati pada masa tertentu bahan api itu kehabisan stok untuk dijual.

“Apabila situasi ini berlaku, pihak stesen minyak akan segera menempah bekalan tambahan untuk pengguna.

“Kesimpulannya, pada peringkat Negeri Sembilan bekalan diesel dan petrol adalah mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah di sini hari ini.

Menurutnya, situasi kekurangan bekalan sementara itu bukan baru berlaku tetapi sentiasa diambil tindakan segera oleh pihak stesen minyak.

Pada masa sama, jelasnya, para pegawai KPDN keluar setiap hari untuk melakukan pemantauan memastikan pengurusan stesen mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku kekurangan bekalan.

Sementara itu, Faizah memberitahu, sebanyak 124 pemeriksaan telah dilakukan oleh KPDN di stesen minyak di seluruh negeri ini susulan penguatkuasaan larangan penjualan dan pembelian petrol RON 95 jepada kenderaan asing bermula 1 April lalu.

“Sepanjang pemeriksaan itu mendapati tiada sebarang isu bekalan atau kes ke atas mana-mana orang atau syarikat berkaitan larangan tersebut,” katanya.

Mengenai penggunaan kad pengenalan orang lain untuk membeli RON 95, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima apa-apa aduan mengenainya.

“Tumpuan kami ketika ini adalah memastikan pematuhan kepada Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN