KUANTAN: Industri perikanan negara mungkin terjejas berikutan pengusaha bot nelayan laut dalam C2 berdepan dengan risiko tidak dapat meneruskan operasi kerana tidak mampu menanggung kos akibat kenaikan harga diesel.
Kos bahan api diesel mencecah RM7.42 per liter ketika ini memberi tekanan kepada lebih 200 pengusaha bot laut dalam C2 di seluruh Pantai Timur membabitkan kira-kira 450 bot.
Wakil pengusaha bot nelayan laut dalam C2, Zahir Yaakob berkata, keadaan itu menyebabkan mereka berdepan tekanan besar kerana tidak menikmati subsidi diesel seperti sebahagian pengusaha bot lain yang mendapat harga sekitar RM1.60 seliter.
Katanya, bagi satu perjalanan ke laut selama lima hari, bot kategori C2 perlu menggunakan kira-kira 5,000 liter diesel.
“Lazimnya bot C2 berada di laut selama 14 hingga 15 hari dan memerlukan kira-kira 15,000 liter diesel.
“Dengan harga diesel industri RM7.40 seliter, kos minyak sahaja boleh mencecah sekitar RM105,000 bagi satu perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar mendesak intervensi kerajaan berhubung isu berkenaan di luar pekarangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.
Menurut Zahir, keadaan itu memberi kesan besar kepada kelangsungan operasi pengusaha bot C2 kerana harga ikan yang didaratkan adalah sama dengan harga ikan dijual oleh nelayan menerima subsidi diesel.
“Bot C2 menyumbang jumlah pendaratan ikan yang besar iaitu 168 juta tan metrik setiap tahun. Jika kami tidak dapat meneruskan operasi, bekalan ikan di pasaran boleh terjejas dan memberi kesan kepada harga ikan.
“Bermakna masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha, malah kepada rakyat kerana ikan merupakan antara sumber protein utama,” katanya.
Ujarnya, sebelum 2019, pengusaha bot C2 pernah menerima insentif daripada kerajaan namun bantuan tersebut dihentikan selepas itu. – UTUSAN










