GAZA: Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 413 manakala 2,300 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan Palestin semalam.
Agensi berita Palestin (WAFA) melaporkan mereka yang terbunuh termasuk 78 kanak-kanak dan 41 wanita, akibat pengeboman pesawat pejuang Israel ke atas beberapa rumah di kawasan berbeza di Semenanjung Gaza.
Dua serangan udara Israel di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, dan di bandar Beit Hanoun di utara turut meragut nyawa bayi, wanita dan warga emas, tambahnya.
Dalam pada itu, tentera Israel pula mendakwa jumlah kematian melibatkan pendudukan adalah lebih 700 orang, sekali gus menjadikan angka korban dalam konflik tersebut melebihi 1,000 orang. – AGENSI