KOTA BHARU: Helah sindiket menjadikan stor tersembunyi di bawah rumah pangsa sebagai transit rokok elektronik terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas vape pelbagai jenis bernilai RM750,000 dalam satu serbuan, minggu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi Rabu lalu itu di Taman Bahagia di sini, sepasukan Strike Force Kompeni B, Batalion 8 PGA dengan bantuan risikan mengesan lokasi berkenaan yang dipercayai dijadikan pusat pengumpulan sebelum diseludup ke Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki yang berada di lokasi tersebutmelarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Suspek yang dilihat membuka stor dalam keadaan mencurigakan meloloskan diri dan kini sedang dikesan.
“Pemeriksaan ke atas stor itu menemukan sejumlah besar kotak berisi vape pelbagai perisa yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi berkata, rampasan melibatkan 1,800 unit peranti vape dianggarkan bernilai RM180,000 serta 3,800 unit cecair vape berisipadu 30 mililiter bernilai kira-kira RM570,000.
“Sindiket dipercayai menggunakan stor bawah rumah pangsa sebagai lokasi transit bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum barangan dibawa keluar ke negara jiran.
“Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










