MONTEVIDEO: Argentina memenuhi reputasi sebagai juara bertahan apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dengan menewaskan Paraguay 1-0, hari ini.
Dalam aksi di Buenos Aires itu, gol awal Nicolas Otamendi pada minit ketiga memadai untuk memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Lionel Scaloni, manakala Lionel Messi masuk sebagai pemain gantian di babak kedua dan dua kali percubaannya terkena tiang.
Sementara itu dalam aksi di Barranquilla, sepakan penalti Darwin Nunez pada masa kecederaan membantu Uruguay seri 2-2 dengan Colombia, manakala Ecuador meraih mata pertama dengan menumpaskan Bolivia 2-1.

Pemilik tujuh anugerah Ballon d’Or, Messi bermula di bangku simpanan dengan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez mengetuai serangan Argentina.
Bagaimanapun pertahanan veteran, Otamendi yang lebih mencuri tumpuan apabila dia memanfaatkan sepakan sudut Rodrigo De Paul untuk gol tunggal perlawanan.
Messi dibawa masuk menggantikan Alvarez pada minit ke-53 tetapi percubaannya dua kali terkena palang.
Colombia menerima padah di atas kegagalan memanfaatkan peluang menambah jaringan selepas mendahului 2-1.
James Rodriguez meletakkan Colombia di depan pada minit ke-35, tetapi Uruguay menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Mathias Olivera.
Mateus Uribe kembali meletakkan Colombia di depan, dan Luis Diaz terlepas peluang menambah jaringan walaupun hanya berdepan penjaga gol.
Uruguay memastikan satu mata selepas diberikan sepakan penalti apabila penjaga gol, Camilo Vargas mengasari Maximiliano Araujo.
Vargas dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua dan penyerang Liverpool, Nunez dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti. – AFP