PETALING JAYA: Meskipun isu rumput Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hangat diperkatakan namun misi paling penting tentulah melihat skuad Harimau Malaya bergelar juara Pestabola Merdeka 2023.
Peluang itu hanya tinggal selangkah lagi selepas skuad kendalian Kim Pan Gon berjaya menumbangkan pasukan di tangga ke-102 , India dengan penuh bergaya di hadapan hampir 45,000 penyokong yang hadir.
Kini sokongan puluhan ribu penyokong-penyokong bola sepak kebangsaan ditagih sekali lagi untuk turun memenuhi stadium bagi menyuntik semangat pemain negara berdepan Tajikistan, malam esok.
Dalam pada itu, Jurulatih Harimau Malaya, Pan Gon menyatakan dia bukan seorang jurulatih yang suka ‘parking bas’ di depan pintu gol dan sanggup mengambil risiko untuk anak-anak buahnya mempamerkan persembahan menghiburkan.
Ketika majoriti pemain yang dipanggil sudah mula memahami cara dan pendekatan taktikalnya, tugas Pan Gon kini lebih terarah kepada membina jati diri pasukan khususnya ketika berdepan lawan yang berada di ranking lebih tinggi berbanding Harimau Malaya.
Walaupun berisiko berdepan kegagalan pertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka, jurulatih dari Korea Selatan itu mahu pemainnya bersedia dengan perkara itu sekaligus mampu ‘melahirkan’ pasukan lebih matang sebelum hadapi Piala Asia 2023.
“Mereka yang dipanggil sertai pasukan kebangsaan, jadi mereka kena berjuang atas nama Malaysia dan itu adalah perkara utama. Tidak perlu tanya saya bagaimana pemain berjuang untuk negara kerana mereka sudah lakukan demi Malaysia dan juga keluarga mereka.
“Kami cuba perbaiki perkara ini (bolos ketika menentang India) tetapi jangan lihat ke arah itu. Jika kami minta jangan bolos dan tidak ambil risiko (usaha menggandakan serangan), saya boleh minta mereka berada di depan pintu gol (parking bas).
“Tetapi kami mahu berikan lebih banyak gol, beri permainan menarik dan sebab itu kami kena ambil risiko dengan mempersembahkan corak menyerang untuk cari lebih gol,” katanya.
Perhitungan dengan Tajikistan kali ini menjadi pentas lunas dendam selepas lawan itu mengecewakan Harimau Malaya ketika Piala Raja Thai, 25 September tahun lalu yang menyaksikan skuad negara tumpas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Selepas hampir dua tahun membimbing pasukan, Pan Gon mula menyerlahkan perubahan besar apabila mencatatkan keputusan memberangsangkan ketika menentang lawan di atas ranking 100 dunia termasuk seri dengan Syria dan China, bulan lalu.
“Saya bangga dengan semua pemain kerana mereka buktikan mampu bersaing dengan pasukan di kelompok 100 terbaik, ini yang kita mahukan,” jelasnya.-UTUSAN











