KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini parti Bersatu menerima wang berjumlah RM800,000 daripada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan melalui empat keping cek pada hari yang sama, empat tahun lalu.
Pegawai Operasi Maybank Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, memaklumkan empat keping cek yang masing-masing bertarikh 1 September 2022 dikeluarkan oleh KCJ Engineering Sdn. Bhd. (KCJ Engineering).
Saksi pendakwaan keenam berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari keempat kes guna kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Mahadi Jumaat.
Terdahulu, Hui Chin melalui penyataan saksinya menyatakan berdasarkan borang pembukaan akaun, KCJ Engineering mempunyai tiga penandatangan sah (authorised signatories) iaitu Zulhelmi Mairin @ Kunting, Datuk Azman Yusof dan Mohd Zaid Yusoff.
Pertuduhan keempat yang dihadapi Muhyiddin menyebut, Ahli Parlimen Pagoh itu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM4.8 juta bagi milik parti daripada seorang individu bernama Azman Yusoff.
Ketika soal balas, Hui Chin bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa transaksi membabitkan empat keping cek itu telus kerana ia dinyatakan dalam rekod pernyataan kewangan pembayaran cek dan rekod penerima cek.
Pada awal prosiding, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan (RoS), Mohamad Amin Idris menyatakan bahawa sumber wang masuk ke dalam akaun Bersatu tidak pernah dinyatakan secara spesifik.
Bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin, 76, atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut daripada tiga buah syarikat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
Sementara itu, bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 16 April ini. – UTUSAN









