BAGAN SERAI: Seorang wanita warga emas, Salmah Sued, 67, yang menghidap kanser payudara dan darah tinggi merayu sumbangan orang ramai untuk membeli keperluan harian terutama susu khas dan lampin pakai buang.
Anak wanita itu, Haspah Ali, 42, berkata, penyakit ibunya dikesan tiga bulan lalu dan sudah menjalani pembedahan membuang sebelah payudaranya diikuti rawatan susulan.
Menurutnya, ibunya menerima bayaran pencen Perkeso arwah bapanya sebanyak RM500 sebulan dan wang itu digunakan untuk kos berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Saya hanya mengambil upah mengasuh anak jiran-jiran, upah yang diperoleh hanya RM1,000 sebulan digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti dan perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui di Taman Kerian di sini.
Menurut Haspah, dia belum pernah memohon bantuan untuk ibunya daripada mana-mana pihak sama ada Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ada pihak cadang supaya saya memohon bantuan untuk ibu melalui Baitulmal namun saya tidak sempat membuat permohonan kerana tiada siapa yang boleh menjaga anak yang masih kecil.
“Saya merayu kepada orang ramai termasuk Baitulmal atau JKM membantu ibu saya untuk kos membeli lampin pakai buang dan susu yang diperlukannya kerana wang pendapatan saya tidak mencukupi,” katanya.
Sumbangan wang bagi membantu keluarga ini boleh dimasukkan ke akaun Maybank Haspah Ali di nombor 1582 4835 1014. – UTUSAN










