Tunggakan gaji pekerja SFI, MTUC rayu campur tangan PM

Tunggakan gaji pekerja SFI, MTUC rayu campur tangan PM

MOHD. EFFENDY ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji lebih 1,000 pekerja syarikat Sabah Forest Industries (SFI) pada April hingga Ogos tahun 2021 yang  masih belum menemui jalan penyelesaian.

Keadaan itu mengakibatkan bekas pekerja syarikat SFI mengalami tekanan hidup serta dibelenggu masalah kewangan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan masing-masing.

Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, keadaan tersebut bertambah teruk lagi dengan pelaksanaan proses ‘Layoff’ tanpa gaji yang berpanjangan terhadap pekerja syarikat terbabit sejak September 2021 sehingga ke hari ini.

“Ekoran keadaan tersebut, menyebabkan pekerja penghuni perumahan juga amat tertekan dan sedih kerana bekalan elektrik dan air telah dipotong sehingga kini.

“Notis pengosongan bangunan dalam kawasan tanah yang diambil alih semula oleh kerajaan negeri juga berakhir pada 22 Jun lepas. Keadaan mereka umpama sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan aduan daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (STIEU), Martin Andong serta wakil penghuni perumahan SFI, Jeffrey Gopog baru-baru ini.

Tegas beliau, selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan, namun isu gaji tertunggak dan ketiadaan keperluas asas seperti dihadapi oleh pekerja SFI masih lagi tidak dapat diselesaikan.

“Sempena hari kemerdekaan ke-66 tahun ini, MTUC berharap ada sinar bagi pekerja SFI untuk menikmati hidup seperti l pekerja yang lain di tanah air sendiri

“Oleh yang demikian, MTUC menyeru kerajaan negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya  bagi menyelesaikan kemelut ini dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN