'Saya sedia terima tajaan walaupun sehari sebelum LTdL'

‘Saya sedia terima tajaan walaupun sehari sebelum LTdL’

MENTERI Belia dan Sukan, Hanna Yeoh (dua kanan) bergambar selepas melancarkan Pasukan Malaysia Pro Cycling di Hotel Le Meridien Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersikap terbuka dalam penajaan Le Tour de Langkawi (LTdL) susulan ada beberapa syarikat belum memuktamadkan isu berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau sendiri bersedia menerima sebarang bentuk penajaan korporat tanpa menetapkan sebarang tarikh akhir bagi penyerahan tajaan.

“Memang saya kata secepat mungkin, namun bukan bermaksud ada tarikh akhir bahkan kalau sehari sebelum mula LTdL pun saya terima lagi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan secara rasmi pasukan baharu tempatan bertaraf benua, Malaysia Pro Cycling yang dipimpin oleh bekas pelumba kebangsaan, Mohd. Sayuti Zahit.

Ia yang mendaftar dengan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia menggantikan Team Sapura Cycling yang telah ‘berkubur’ awal tahun ini ekoran masalah ketiadaan penaja.

LTdL ke-27 berlangsung dari 23 sehingga 30 September depan mencetuskan tanda tanya susulan kurang penajaan korporat setelah berakhir isu tunggakan hutang edisi tahun lalu.

Keadaan itu menyaksikan pihak KBS melaksanakan penjimatan dengan diuruskan Majlis Sukan Negara (MSN) serta kerjasama oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, setakat ini pihak LTdL turut dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan tajaan beberapa syarikat sebelum mereka diminta membuat keputusan.

“Jika berlaku keadaan sebaliknya, KBS mungkin akan guna peruntukan asas yang diberi Kementerian Kewangan untuk tahun ini tetapi saya cuba cari jalan paling baik,” tegasnya.

Ditanya mengapa boleh berlaku isu sedemikian, beliau menjelaskan bahawa situasi itu timbul ekoran kelewatan kelulusan Belanjawan 2023 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Justeru ujarnya, setelah kelulusan diterima KBS pada April lepas, banyak jadual kejohanan besar dalam negara terpaksa diselaraskan semula oleh pihak MSN terutama isu tajaan.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menamatkan sekatan daripada kalendar jelajah Asia dengan kembali berstatus ProSeries.

Bahkan, Hannah gembira apabila dimaklumkan bahawa LTdL kali ini akan merentasi semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dengan jarak kira-kira 1,280 kilometer.

Pada masa sama, beliau mengharapkan setiap kerajaan negeri termasuk dikuasai oleh pembangkang agar dapat memberikan kerjasama kepada perlumbaan antarabangsa itu.

LTdL edisi pertama dianjurkan pada 1996 hasil cetusan idea bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan hanya sekali tiada pada 2021 ekoran isu pandemik Covid-19.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya