Keterangan Abdul Hadi akan diambil Bukit Aman - Utusan Malaysia

Keterangan Abdul Hadi akan diambil Bukit Aman

MOHD Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat ini berhubung kenyataannya yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Kata beliau, Abdul Hadi telah dihubungi untuk mendapatkan masa beliau yang sesuai untuk tampil memberi keterangan.

“Dalam kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ketika ini, masyarakat seharusnya tidak membuat spekulasi dan memburukkan keadaan.

“Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sering ingatkan kepada semua agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) semasa tempoh berkempen,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan, terlalu banyak kes membabitkan penyalahgunaan media sosial direkodkan PDRM.

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah mendapati, sebanyak 88 kes membabitkan isu 3R direkodkan sejak awal tahun sehingga kini.

“Kita berpendidikan tinggi dan sudah cukup matang. Jadi, jangan disebabkan emosi penulisan atau sisipan yang dibuat mempunyai implikasi sehingga membelakangi undang-undang negara ini.

“Selagi ada laporan, sudah pasti kita (polis) akan siasat sehingga dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri pada dua hari lalu dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN