KOTA BHARU: Kejayaan membenam Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin membuktikan Selangor FC mampu melakukan kebangkitan segera dan kembali ke prestasi sebenar.
Pengendalinya, Kim Pan Gon berkata, keputusan itu menyaksikan anak buahnya kembali dengan kualiti sebenar selepas mencapai keputusan kurang membanggakan termasuk tewas 0-1 kepada Kuching City pada separuh akhir kedua Piala Malaysia.
“Ini membuktikan Selangor tidak akan jatuh, tidak mudah kecewa dan pastinya tidak akan pernah mengalah. Kami merupakan sebuah pasukan yang kuat dan tindak balas diberikan barisan pemain sangat bermakna untuk pasukan.
“Saya juga menghargai Ultras Selangor yang terus setia mengiringi pasukan dan mencipta suasana cukup hebat untuk membakar semangat juang pasukan. Banyak aspek positif dapat dilihat pada perlawanan malam ini,” katanya.
Pan Gon turut memuji Kim Jiho yang menjaringkan gol pembukaan dengan penuh bergaya serta Chigor Moraes, atas jaringan hatrik bagi membolehkan pemain itu kekal bersaing dalam perlumbaan merebut takhta penjaring terbanyak musim ini.
“Kami tidak memandang mudah perlawanan menentang Kelantan TRW walaupun mereka berada dalam kelompok bawahan liga kerana berdasarkan perlawanan-perlawanan sebelum ini, Selangor sentiasa bergelut apabila berdepan lawan yang dianggap lemah.
“Selepas kekalahan kepada Kuching City pada aksi separuh akhir Piala Malaysia, saya sedikit risau untuk memasuki perlawanan malam ini. Namun pemain-pemain memberikan respons terbaik serta positif untuk mengekalkan DNA bola sepak Selangor dengan keinginan untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Pan Gon mengakui Gergasi Merah mahu mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super malah memasang impian ke pentas Asia menerusi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
“Ini yang kita mahukan (slot ke Asia). Sebab itu kita perlu berjuang sehingga ke titik penyudah dan terus mengukuhkan kedudukan pada tangga kedua liga sehingga ke penghujung musim.
“Kami sudah memberikan yang terbaik dan melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagai sebuah pasukan. Kini kami benar-benar mengidamkan peluang ke pentas Asia,” katanya
Selangor kini bersaing hebat dengan Kuching City bagi merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar dicabar dan sudah mengesahkan gelaran juara buat kali ke-12 berturut-turut.-UTUSAN










