MEXICO CITY: Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos menggesa pemainnya supaya tidak terpengaruh dengan sorakan padu puluhan ribu penyokong tuan rumah apabila mereka membuka kempen Piala Dunia menentang Mexico dalam aksi Kumpulan A, esok.
Broos, 74, menjangkakan pasukannya bakal berdepan suasana mencabar di Stadium Azteca yang dijangka dipenuhi kira-kira 85,000 penyokong Mexico.
Bekas pemain antarabangsa Belgium itu mempunyai pengalaman beraksi di venue berkenaan ketika Piala Dunia 1986 dan percaya sokongan padu penyokong tempatan mampu memberi kelebihan besar kepada skuad Mexico.
“Akan ada ramai penyokong dan tidak ramai yang akan menyokong Afrika Selatan. Itu adalah kelebihan besar buat mereka.
“Mereka akan mendapat sokongan 85,000 penyokong yang menjerit dan menyanyi. Namun, kami perlu fokus kepada permainan sendiri. Jika kami tidak terlalu dipengaruhi suasana itu, kami mampu memberikan saingan yang baik,” katanya.
Menurut Broos, Mexico merupakan pasukan pilihan untuk mengungguli Kumpulan A berdasarkan prestasi semasa mereka yang cukup memberangsangkan.
“Saya rasa mereka memenangi hampir semua daripada 10 perlawanan terakhir mereka. Mereka adalah pasukan yang penuh keyakinan dan saya melihat mereka sebagai pasukan terbaik dalam kumpulan ini.
“Perlawanan esok pasti sangat sukar. Kami perlu berada pada tahap terbaik, tetapi saya yakin pasukan ini bersedia berjuang bagi setiap bola dan setiap ruang di atas padang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Broos turut meluahkan pandangannya terhadap format baharu Piala Dunia yang kini melibatkan 48 pasukan.
Beliau berpendapat pertambahan jumlah peserta menyebabkan jadual perjalanan menjadi lebih mencabar dan memenatkan berbanding edisi terdahulu.
“Ia agak terlalu besar apabila melibatkan 48 negara. Empat puluh tahun lalu, Piala Dunia hanya berlangsung di Mexico, tetapi kini kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
“Sudah tentu ia lebih memenatkan berbanding Piala Dunia sebelum ini yang melibatkan jumlah pasukan lebih kecil, namun kami perlu menerimanya,” katanya. – AFP










