Rashford masih ada masa depan di Old Trafford

Rashford masih ada masa depan di Old Trafford

MARCUS RASHFORD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Legenda Manchester United, Wes Brown percaya Marcus Rashford masih mempunyai masa depan di Old Trafford dan mampu kembali menjadi tonggak skuad kendalian Michael Carrick musim ini.

Masa depan pemain berusia berusia 28 tahun itu bersama The Red Devils belum dapat dipastikan selepas Barcelona menarik diri daripada usaha mendapatkan khidmatnya secara tetap.

Pemain England itu sebelum ini menjalani tempoh pinjaman yang cemerlang bersama Aston Villa dan Barcelona selepas diketepikan daripada skuad utama United pada 2025 ketika era bekas pengurus, Ruben Amorim.

Barcelona dikatakan berminat mengekalkan Rashford, namun enggan menebus klausa pelepasan bernilai 40 juta pound (RM217 juta) sebelum memilih mendapatkan Anthony Gordon dengan nilai perpindahan 70 juta pound (RM381 juta).

Situasi itu menyaksikan Rashford kekal sebagai pemain Manchester United, sekali gus membuka peluang untuk kembali menyarung jersi kelab yang diwakilinya sejak di peringkat akademi.

Brown yakin Carrick tidak akan teragak-agak menerima semula Rashford kerana penyerang itu masih mampu memberi impak besar kepada pasukan.

“Saya pasti Carrick mahu dia kembali kerana ia memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan. Jika Marcus kembali musim ini, ia pasti membantu kami.

“Jika keputusan itu terletak di tangan Carrick, saya yakin dia akan membawa Rashford kembali. Memang Rashford mahu kekal di Barcelona, tetapi mereka memilih haluan lain.

“Dalam bola sepak, perselisihan boleh berlaku dan hubungan boleh dipulihkan. Saya fikir kehadirannya akan menjadi satu kelebihan besar buat pasukan,” katanya.

Brown turut mengakui gaji tinggi Rashford mungkin menjadi penghalang sekiranya pemain itu mahu mencari kelab baharu.

“Rashford seorang pemain yang hebat dan dia turut membuktikan kemampuannya bersama England pada Piala Dunia. Kini semua pihak perlu membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Brown menyokong usaha United memperkukuhkan jentera tengah, namun mengingatkan bekas kelabnya supaya tidak membayar harga terlalu tinggi untuk mendapatkan pemain baharu.

United sebelum ini terlepas peluang mendapatkan Elliot Anderson yang menyertai Manchester City, selain Sandro Tonali dan Mateus Fernandes yang memilih Tottenham Hotspur, manakala perpindahan Ederson gagal disempurnakan selepas pemain itu tidak melepasi ujian perubatan.

Bagaimanapun, kelab itu sudah membawa masuk Andrey Santos dan Youri Tielemans selain terus dikaitkan dengan beberapa lagi pemain tengah seperti Aurelien Tchouameni, Manu Kone dan Alex Scott. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN