Jual minyak masak subsidi online, KKD bincang KPDN

Jual minyak masak subsidi online, KKD bincang KPDN

Sekat ketirisan subsidi bukan tarik subsidi kepada golongan tertentu. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung isu penjualan minyak masak paket subsidi secara dalam talian di beberapa platform media sosial ketika ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau melihat perkara ini sebagai serius dan ia jelas melangggar peraturan ditetapkan KPDN.

Beliau berkata, pihaknya akan memanjangkan isu berkenaan kepada KPDN dan jika wujud pelanggaran undang-undang, maka ia akan diambil tindakan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga akan menjalankan tindakan lanjut bagi menyiasat mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor 2023, di sini hari ini.

Tinjauan di beberapa platform media sosial termasuk ‘marketplace’ Facebook (FB) mendapati, wujud segelintir peniaga memasarkan minyak masak paket subsidi di platform berkenaan.

Didapati, barangan keperluan itu dijual pada harga agak tinggi melebihi harga kawalan iaitu RM3 sekilogram berbanding RM2.50 ditetapkan kerajaan.

Ada peniaga yang menjual minyak masak subsidi itu secara borong dan runcit pada harga yang berbeza.

Sebelum ini, KPDN memaklumkan,
syarikat yang didapati bersalah menjual barang kawalan berjadual boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN