KUALA LUMPUR: Baru sahaja menlancarkan album sulung, band rock, Men of Another Day Another Music (MADAM) mengakui lagu berjudul Mona Lisa menjadi antara karya paling mencabar untuk dihasilkan.
Menurut Putera Muhammad selaku vokalis kumpulan itu, lagu berkenaan memerlukan pendekatan yang lebih teliti kerana mereka mahu menampilkan sesuatu yang segar dan unik kepada pendengar.
“Lagu yang paling banyak ‘drama’ untuk siapkan adalah Mona Lisa sebab apa yang kami buat kali ini lain daripada kebiasaan band.
“Kami gabungkan elemen etnik dengan elemen elektronik dalam genre rock. Itu yang membezakan lagu ini dengan karya-karya lain,” katanya.
Cakna judul lagu tersebut digunakan untuk karya lain, MADAM menegaskan keputusan itu bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya lagu tersebut telah dirakam lebih awal sebelum kemunculan karya lain.
“Sebenarnya lagu itu sudah lama dirakam sebelum pihak lain keluarkan lagu dengan tajuk sama. Jadi bila semuanya sudah siap dan masuk dalam album, agak tidak sesuai untuk ditukar.
“Kalau tukar, nanti rasa dia sudah tidak sama. Jadi kita kekalkan sahaja,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran MADAM: The Album, kelmarin.
Jelas Madam, mereka lebih mengutamakan keaslian karya berbanding faktor luaran, selain mahu memastikan setiap lagu dalam album tersebut membawa identiti tersendiri.
Untuk info, MADAM terdiri daripada empat anggota kumpulan iaitu Putera, Azuan, Herman dan Fadhil.
MADAM: The Album memuatkan lapan buah lagu iaitu Ini Masa Kita, Antara Garisan, Hilang, Mona Lisa, Asmaraduka, Juara, Tak Mungkin Bersama dan Smbng.










