Jasmine masih disiasat polis - Utusan Malaysia

Jasmine masih disiasat polis

JASMINE LOO AI SUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menja­lankan siasatan terhadap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan sebelum wanita itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tempoh tahanan reman wanita berusia 49 tahun itu sudah tamat namun siasatan lanjut berkaitan penglibatannya dalam skandal IMDB masih dijalankan.

“Keterangan-keterangan Jasmine telah diambil dan tahanan reman telah tamat. Bagaimanapun, kita masih dalam proses melengkapkan siasatan.

“Dia (Jasmine) hanya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah siasatan polis selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan ke atas Jasmine dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Kesek­saan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Pada 13 Julai lalu, Razarudin mendedahkan Jasmine yang dipercayai baru pulang ke negara ini tampil menyerah diri di Dang Wangi bersama peguamnya.

SIASATAN

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya kini sedang mengesan lebih tiga individu dipercayai membantu siasatan kes 1MDB.

“Mereka itu kita percaya saksi yang dapat membantu kes tersebut,” ujarnya.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Pada 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Jasmine dipercayai bersembunyi di Shenzhen, China.

Bloomberg sebelum ini me­laporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey Tang Keng Chee dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN