KOTA TINGGI: Penduduk di Felda Air Tawar 2 di sini gusar dengan kehadiran kumpulan gajah liar yang semakin berani masuk ke halaman rumah mereka.
Rosli Amat Buhari, 50, berkata, gangguan haiwan liar itu bukan isu baharu namun sebelum ini hanya berkeliaran di kawasan kebun kelapa sawit.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran ‘tetamu’ itu malam kelmarin ke kawasan rumah penduduk merosakkan tanaman sangat membimbangkan mereka.
“Sebelum ini setiap tahun memang ada berlaku pencerobohan gajah liar ini tetapi hanya di kawasan kebun Felda. Tahun ini kumpulan haiwan liar itu semakin berani mendekati rumah penduduk.
“Sudah masuk hari ketiga pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) datang mengusir tetapi keesokannya gajah itu datang semula sehingga ke kawasan rumah peneroka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Rosli, apa yang membimbangkan penduduk adalah pada sebelah pagi ketika hendak keluar bekerja jika terserempak gajah liar dan keadaan itu menakutkan mereka.
Difahamkan sebanyak tujuh hingga lapan ekor gajah liar dikenal pasti sering menceroboh kawasan penempatan tersebut untuk mencari makanan.
Justeru, penduduk berharap masalah gajah liar itu dapat diatasi segera sebelum berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan mereka. – UTUSAN











