Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan putuskan kes undang-undang syariah negeri bertentangan Perlembagaan

Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan putuskan kes undang-undang syariah negeri bertentangan Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi kesalahan-kesalahan berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun agama Islam.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam kenyataan memaklumkan, sama ada kesalahan-kesalahan yang diwujudkan di dalam undang-undang syariah oleh badan perundangan negeri bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak, ia akan ditentukan atau diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Ini sebagaimana berlaku kepada kes Iki Putra Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 3 CLJ 465.

Menurut JKSM, pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan terhadap agama Islam mempunyai hak untuk terlibat sama dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener) atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

“(Sehubungan itu) JKSM mengalu-alukan pihak berkuasa negeri, badan berkanun atau agensi kerajaan berkaitan agama dan NGO untuk turut serta sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae),” katanya hari ini.

Ia mengulas berhubung kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan yang masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan yang tular di media sosial dikatakan menggugat struktur asas perundangan.

Bagaimanapun, JKSM tidak ada sebarang komen khusus berkaitan kes ini bagi mengelakkan subjudis kerana melibatkan cabaran kepada kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal peruntukan undang-undang syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk memutuskan kes berkenaan.

Dalam pada itu, JKSM berkata, pihaknya percaya kerajaan sentiasa komited untuk memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang diwujudkan sebelum ini telah pun dinaik taraf kepada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangksaan (JPIK) di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 2022.

Jelasnya, usaha-usaha untuk menambah baik undang-undang syariah masih dan sentiasa berjalan sehingga kini selaras Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Persekutuan dan ia masih berjalan di peringkat negeri-negeri.

“JKSM sebagai agensi penyelaras pentadbiran mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha, program dan aktiviti dengan kerjasama mahkamah-mahkamah syariah negeri.

“Ini bagi memastikan undang-undang syariah yang digubal oleh badan perundangan negeri dilaksanakan secara efisien dan berkesan,” katanya.

“JKSM sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan dan usaha daripada semua pihak untuk memperkasa dan memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah termasuklah melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ataupun mana-mana undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, JKSM berkata, institusi perundangan dan kehakiman syariah adalah simbol kepada keadilan Islam di negara ini yang mana bidang kuasanya terletak secara mutlak di bawah sultan dan raja pemerintah setiap negeri.

JKSM menegaskan, sebarang tindakan yang memberi kesan negatif kepada institusi perundangan dan kehakiman syariah boleh menjejaskan kemuliaan dan kedudukan sultan dan raja pemerintah.

“JKSM menggesa semua pihak yang berkepentingan untuk mempertahankan kedudukan dan status institusi perundangan dan kehakiman Syariah di negara ini sebagai tanggungjawab bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya