SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan melalui kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid secara majoriti membatalkan 16 peruntukan kesalahan jenayah syariah yang dicabar melalui Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 baru-baru ini mencetuskan banyak kontroversi.
Sebanyak 68 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 2019, 53 daripadanya melibatkan kesalahan jenayah syariah yang boleh diklasifikasikan kepada enam kategori termasuklah kesalahan melibatkan akidah. Setelah 16 peruntukan kesalahan diputuskan tidak sah, kini yang tinggal dan boleh dikuatkuasakan di Kelantan hanyalah tinggal 37 peruntukan kesalahan sahaja. Lantaran itu, badan perundangan negeri terutamanya yang melibatkan institusi agama tidak boleh berasa selesa dan secara naif menerima ini adalah isu bidang kuasa teknikal sahaja.
Berbalik kepada isu undang-undang Islam umumnya dan jenayah syariah khasnya, badan perundangan negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang bagi kesalahan jenayah Islam di negeri masing-masing tertakluk kepada dua syarat:
1) Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang masih belum lagi diperuntukkan dalam mana-mana akta Parlimen. Maka badan perundangan negeri sudah tidak boleh membuat undang-undang tersebut walaupun kesalahan tersebut adalah kesalahan dalam syariah. Sebagai contoh kesalahan mencuri telah diperuntukkan dalam kanun keseksaan iaitu akta yang digubal oleh Parlimen.
Oleh itu, negeri tidak boleh membuat undang-undang berkaitan kesalahan mencuri kerana kesalahan tersebut telah diperuntukkan dalam undang-undang Persekutuan. Begitu juga bagi kesalahan liwat, persetubuhan dengan mayat, sumbang mahram dan mana-mana kesalahan lain.
2) Dalam membuat peruntukan kesalahan jenayah syariah, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak lebih dari RM5,000, denda tiga tahun penjara dan enam kali sebatan.
Menjadi keperluan penting untuk mewujudkan jawatankuasa yang mengumpulkan pakar-pakar yang mahir dalam pelbagai bidang undang-undang, sama ada sivil atau syariah bagi memastikan peruntukan undang-undang yang dibuat adalah dalam bidang kuasa untuk menjadikannya sah dan terpakai.
Perlu diakui bahawa impak daripada keputusan ini memberi pengaruh besar ke atas bidang kuasa negeri terutama melibatkan mahkamah syariah. Tindakan utuh perlu segera dilaksanakan. Strategi lebih bijak untuk memartabatkan mahkamah syariah agar boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN
DR. SITI AISYAH SAMUDIN
dan DR. HANIRA HANAFI
Jabatan Syariah dan Undang-undang,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya










